HANOI – Grand Prix Formula Satu Vietnam yang bakal diadakan julung-julung kali pada musim ini berdepan risiko penangguhan ekoran ancaman koronavirus (Covid-19).
Perlumbaan itu akan diadakan pada 5 April ini tetapi Vietnam berkata, pihaknya akan menyekat mana-mana individu yang pernah ke Itali dalam tempoh 14 hari sebelum memasuki negara ini.
Ia bermakna Antonio Giovinazzi dari pasukan Alfa Romeo dan Ferrari serta Alfa Tauri dan pembekal tayar Pirelli tidak dapat memasuki Vietnam sewaktu perlumbaan.
Pengasas F1 yang kini berada di Vietnam, sedang berusaha untuk memastikan perlumbaan itu diteruskan tanpa masalah.
Tetapi sekiranya kerajaan Vietnam enggan melonggarkan peraturan itu, maka perlumbaan itu perlu ditunda memandangkan F1 sudah membuat ketetapan GP tidak akan diadakan sekiranya pegawai mana-mana pasukan F1 dilarang memasuki negara penganjur.
Vietnam melarang individu yang melawat Itali, China, Iran serta Daegu dan Gyeongsangbuk di Korea Selatan.
Namun larangan itu dikecualikan kepada perjanjian perjalanan khas yang terlibat berurusan dengan kerajaan.
Sekiranya GP Vietnam ditunda, maka ia akan dijadualkan semula menjelang akhir tahun ini.
Pada Februari lalu, GP China yang sepatutnya berlangsung 17 April juga telah ditunda. -MalaysiaGazette