PUTRAJAYA – Mengambilkira status semasa penularan Covid-19 di Malaysia yang telah memasuki gelombang kedua dan selaras dengan sekatan di Denmark – Malaysia mengenakan sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap kesemua mereka yang datang dari negara tersebut.
Ia sekaligus menyaksikan Denmark negara ke-14 selepas, Iran, Itali dan Korea Selatan yang telah disekat warganegara serta warga asing dari negara itu daripada memasuki Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Denmark atas faktor risiko mendapat jangkitan semasa berada di negara terbabit.
Rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari Denmark akan dikenakan perintah berkurung di rumah atau selama 14 hari.
“Perintah berkenaan berkuatkuasa mulai 14 Mac 2020 (Sabtu) ini selain mesyuarat ini juga telah memutuskan beberapa langkah yang akan saya bawa ke pertimbangan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebelum dilaksanakan,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Covid-19 Bilangan 3 Tahun 2020 bersama Ketua-Ketua Setiausaha dan Ketua-Ketua Pengarah serta Wakil daripada pelbagai Kementerian dan Agensi yang berkaitan di Perdana Putra di sini.
Malah kata Mohd. Redzuan, sekatan perjalanan sepenuhnya itu tidak dikuatkuasakan serta merta berikutan pihaknya terlebih dahulu memaklumkan penguatkuasaan bertarikh 14 Mac ini kepada kedutaan Denmark di sini.
Ditanya kenapa kerajaan membuat keputusan melarang perjalanan ke Denmark dan melarang warganegaranya memasuki negara ini, beliau berkata, ia berdasarkan keputusan negara itu sendiri yang mengenakan sekatan.
“Selain dari Denmark, mana-mana rakyat negara itu atau warga negara lain yang tiba ke Malaysia dari transit negara ketiga selepas berlepas dari negara terbabit (Denmark) juga digunapakai sekatan tersebut,” ujarnya sambil menegaskan ia sama dengan kaedah yang dilaksanakan untuk Iran, Itali dan Korea Selatan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan garis panduan Pencegahan Penularan Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) Di Sekolah untuk membantu pengurusan sekolah di bawah KPM termasuklah sekolah swasta, akademi dan agama, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang berdaftar dengan KPM.
Mohd. Redzuan berkata, garis panduan itu menjelaskan langkah-langkah mengawal penularan penyakit Covid-19 termasuk mengendalikan warga sekolah yang terlibat dengan perjalanan ke negara-negara yang dikategorikan sebagai negara berisiko tinggi.
Dalam satu lagi perkembangan, katanya, penamatan misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR-2) Malaysia – Wuhan semalam, seramai 68 orang individu telah mendapat surat Pelepasan Dari Menjalani Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Mereka merupakan rakyat Malaysia dan tanggungan yang dibawa pulang dari Wuhan, China dalam misi Bantuan Kemanusiaan pada 27 Februari lalu. Setelah beberapa ujian saringan kesihatan menunjukkan negatif Covid-19, kesemua mereka dibenar meninggalkan Akademi Kepimpinan Tinggi (AKEPT) selepas 14 hari menjalani perintah pengawasan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette