Home Dunia Iran setuju pulangkan kotak hitam kepada Ukraine

Iran setuju pulangkan kotak hitam kepada Ukraine

Rakaman video yang menunjukkan pesawat Ukraine dibedil oleh peluru berpandu pada 8 Januari 2020. foto Agensi

OTTAWA – Iran bersetuju untuk menyerahkan kotak hitam milik kapal terbang Ukraine ke Kiev untuk analisis – satu langkah menamatkan kebuntuan berhubung rakaman daripada pesawat yang ditembak Tehran.

Sehingga kini Iran enggan menyerahkan kotak hitam Ukraine International International Airlines, yang ditembak jatuh oleh tentera Iran pada 8 Januari lalu.

Insiden itu mengorbankan semua 176 orang penumpang.

Farhad Parvaresh, yang mengetuai delegasi Iran di Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di Montreal berkata, pihak berkuasa penerbangan awam Tehran juga telah menjemput negara-negara lain yang berminat untuk turut serta dalam menganalisis data.

Ia membuka pintu kepada Amerika Syarikat, Ukraine, Kanada dan ICAO, menurut sumber.

Siasatan kemalangan udara biasanya diserahkan kepada 193 negara anggota ICAO.

Menteri Luar Kanada, Francois-Philippe Champagne menyifatkan ia langkah yang betul.

“Kami mengalu-alukannya tetapi kami akan menilai Iran secara jelas dengan tindakan mereka,” katanya kepada pemberita.

Ottawa telah berulang kali menekan Iran supaya menyerahkan kotak yang rosak dari kemalangan itu, yan mana seramai 57 warga Kanada mati.

Iran juga telah menjelaskan bahawa ia akan memindahkan kotak hitam itu ke Perancis jika perlu, kata Champagne.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Januari lalu menggesa Iran menghantar perakam ke Perancis, salah satu daripada beberapa negara dengan kemampuan untuk menganalisis kotak hitam yang rosak.

Andriy Shevchenko, Duta Besar Ukraine ke Kanada, pula menyifatkan pengumuman itu adalah satu “keputusan penting”.

Di bawah peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Iran mengekalkan kawalan keseluruhan siasatan sementara Amerika Syarikat dan Ukraine pula diakreditasi sebagai negara yang membina dan mengendalikan pesawat tersebut. – MalaysiaGazette