PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alaxender Nanta Linggi bersedia mendengar pandangan pelbagai pihak berhubung cadangan memperkenalkan harga lantai kepada petrol dan diesel.
Sekiranya cadangan tersebut mempunyai manfaat, maka menurut beliau, cadangan itu akan diusulkan kepada Kabinet.
“Kami perlu dengar pendapat semua dan perlu memastikan idea itu boleh dibincangkan. Jika ia bagus, KPDNHEP akan cadangkan kepada kerajaan.
“Ia terlalu awal untuk saya komen tentang itu sekarang. Saya perlu membuat perbincangan terlebih dahulu secara terperinci tentangnya,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Kedatangan Menteri dan Timbalan KPDNHEP Datuk Rosol Wahid di sini.
Pada 9 Mac yang lalu, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mencadangkan pengenalan harga lantai untuk produk runcit petrol dan diesel yang boleh menjadi mekanisme yang menguntungkan pengguna, kerajaan dan pengusaha stesen minyak.
Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata, menerusi pengenalan harga lantai itu, sebarang hasil kutipan daripada kejatuhan mendadak harga minyak dunia, yang mana turut mempengaruhi harga runcit petrol dan diesel dapat disimpan untuk kegunaan masa depan.
Dalam pada itu, Alexander berkata masih terlalu awal untuk beliau mengulas mengenai Program Subsidi Petrol (PSP) yang merupakan inisiatif kerajaan terdahulu.
Sebaliknya beliau berkata perkara itu akan diperincikan terlebih dahulu menerusi taklimat, termasuklah menilai dasar-dasar yang lain.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, beliau tidak mempunyai halangan untuk meneruskan dasar terdahulu sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat.
“Ia terlalu awal untuk saya komen tentang itu tetapi saya akan adakan taklimat dengan pegawai dan sudah tentu jika apa juga dasar yang sedia ada, saya akan teruskan jika ia bagus untuk rakyat,” tambahnya. -MalaysiaGazette