KUALA LUMPUR – Kesemua sembilan menteri daripada UMNO bersetuju untuk mengisytiharkan harta seperti yang diarahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau sudah memikirkan perkara itu dan ia adalah perkara pertama yang akan mereka lakukan dan akan dibuat dalam tempoh terdekat.
“(Pengisytiharan harta) itu adalah peringatan pertama Perdana Menteri kepada kami dan memang itu adalah tuntutan yang akan kita buat.
“Kami akur (arahan isytihar harta) dan itu adalah tugas utama yang perlu dilakukan. Malah rakan-rakan lain (menteri dan timbalan menteri) juga sedia isytihar harta mereka,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.
Selain Reezal Merican, antara menteri UMNO yang lain adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga akan menyahut ketetapan Muhyiddin.
Katanya, pengisytiharan harta itu secara tidak langsung membuktikan ketelusan kerajaan yang ada hari ini.
“Kami tiada sebarang masalah (isytihar harta) masalah dalam Parlimen sebelum ini pun saya sudah isytihar harta. Jadi tiada masalah untuk isytihar sekali lagi.
“Sebenarnya sebelum dilantik (sebagai menteri atau timbalan menteri), kami sudah disaring oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis,” katanya selepas meninggalkan Menara Dato’ Onn, hari ini. – MalaysiaGazette