BANGI- Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyasarkan untuk meningkatkan hasil sawit agar ia dapat mencakupi pasaran baharu kelak.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia merupakan salah satu hala tuju kementerian itu yang dicapai semasa taklimat bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.
“Kita menyasarkan untuk membesarkan lagi saiz pengeluaran. Kita sasarkan pengeluaran 20 juta tan.
“Penggunaan tenaga kerja bukan hanya bergantung pekerja luar tetapi kita menyasarkan penggunaan buruh tempatan dan memperkasakan lagi tenaga mesin untuk melahirkan pekebun yang bijak bukan hanya bergantung cara lama untuk menghasilkan tanaman sawit,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Selain itu, Mohd. Khairuddin berkata, kerajaan akan terus mencari peluang untuk terus mengkomersialkan sawit menerusi penghasilan produk terbaharu seperti kosmetik dan sebagainya.
Semua perkara melibatkan hala tuju penghasilan sawit dalam negara ujar beliau, akan dikaji oleh MPOB kemudian dilaporkan menerusi kertas kerja sebelum diserahkan kepada kementeriannya.
Terdahulu Khairuddin dan dua timbalannya iaitu Datuk Seri Wee Jeck Seng dan Willie Anak Mongin mengadakan lawatan ke Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Persiaran Institusi, Bangi.
Mengulas mengenai sekatan sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) pula, Khairuddin mahu kerajaan fokus kepada memperbesarkan pasaran baharu dan tidak hanya bergantung kepada rakan niaga yang sedia ada.
“Apa EU nak buat itu hal mereka. Orang berniaga cari pasaran baru bukan bergantung pasaran sedia ada, yang penting kita kena cari pasaran baru, kalau kita asyik melayan rakan yang lama, kita tidak akan ke mana.
“Kita mula kajian dulu berunding dengan semua negara ini, saya sendiri mendapat panggilan daripada duta negara Arab untuk pertemuan segera untuk melihat peluang kita memasarkan sawit kita ke negara mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette