Home Ekonomi Harga minyak jatuh lagi, prestasi terburuk Brent sejak 1991

Harga minyak jatuh lagi, prestasi terburuk Brent sejak 1991

TOKYO – Harga minyak mentah susut dalam dagangan hari ini, penurunan hari ketiga berturut-turut dengan harga Brent merosot untuk kejatuhan mingguan terbesar sejak 1991.

Manakala harga minyak mentah Amerika Syarikat pula bakal merekodkan mingguan terburuk sejak 2008 susulan panik akibat penurunan permintaan disebabkan penularan wabak koronavirus.

Minyak mentah Brent turun AS$0.67 atau 2% kepada AS$ 32.55 setong pada 0126 GMT selepas jatuh lebih daripada 7% pada hari Khamis.

Untuk minggu ini, Brent dijangka jatuh 28%, penurunan mingguan terbesar sejak minggu 18 Januari 1991, apabila ia jatuh 29% ketika Perang Teluk pertama meletus.

Harga minyak West Texas Intermediate (WTI) susut AS$0.66 cents atau 2.1%, kepada AS$30.84 selepas jatuh lebih daripada AS$1 pada awal sesi.

Harga kontrak turun sebanyak 4.5% pada sesi sebelumnya. WTI susut 25% pada minggu ini – penurunan paling banyak sejak 19 Disember 2008, apabila ia jatuh 27% ketika krisis kewangan dunia.

Harga minyak semakin murah di pasaran selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu meningkatkan tekanan ke atas harga dengan menambah pengeluaran.

Tindakan itu dibuat selepas Rusia enggan bersepakat dengan OPEC dan pengeluar-pengeluar lain untuk mengurangkan jumlah pengeluaran minyak dalam usaha mengurangkan bekalan dan meningkatkan semula harga.

Harga minyak dunia menyusut sejak awal tahun ini dipacu oleh penurunan permintaan dan penularan wabak koronavirus. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. sekarang kerajaan pn boleh lah laksanakan harga minyak Rm1.50 seliter. orang lain tak boleh buat tapi pn boleh. rakyat akan puji lah muhyidin bijak merintah.

Comments are closed.