Home Nasional Sindiket pinjaman tak wujud tumpas, 22 suspek Geng Manggo ditangkap

Sindiket pinjaman tak wujud tumpas, 22 suspek Geng Manggo ditangkap

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim bersama Timbalan Ketua Polisnya Deputi Komisioner (DCP) Datuk Yong Lei Choo bercakap pada sidang media mengnai penipuan pinjaman tidak wujud dalam talian (Gang Manggo) di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Sindiket haram yang memperdaya dan menipu mangsa menggunakan skim pinjaman wang tidak wujud di sekitar ibu negara berjaya ditumpaskan dengan penangkapan 22 orang ahli Geng Manggo

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek itu dicekup dalam serbuan di dua tempat di Setapak.

Bagaimanapun, ketua geng tersebut yang menggunakan nama samaran Manggo berjaya meloloskan diri dan sedang diburu polis.

Manggo adalah rakyat tempatan.

Kejayaan itu hasil maklumat awam dan risikan Op Seagull yang dilancarkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur dan Bukit Aman pada 10 Mac lalu.

Operasi ini telah melakukan serbuan di dua kawasan berasingan iaitu di Jalan Setapak dan Jalan Off Genting Klang sebelum menangkap kesemua 22 suspek ahli sindiket tersebut.

”Semasa serbuan pertama, sekitar 6.54 petang di Jalan Setapak, enam suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita termasuk tiga merupakan warga negara India, kesemuanya berusia antara 25 hingga 39 tahun dicekup selepas didapati melakukan penipuan pinjaman tidak wujud.

“Polis membawa mereka ke sebuah Kondominium yang disyaki disewa dengan kadar RM3,000 sebulan di Jalan Setapak sebelum merampas 19 biji telefon bimbit dan 14 buku nota, 3 batang kunci rumah dua pasport warga India milik seorang lelaki dan wanita dari India.

“Kemudian siasatan lanjut terhadap mereka membawa kepada serbuan di satu lagi lokasi di Off Jalan Genting Klang, Setapak sekitar 9.20 malam, sebelum berjaya mencekup 16 orang lagi suspek ahli sindiket tersebut,” katanya dalam sidang media khas kejayaan Bahagian Komersial Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pagi tadi.

Tambah beliau, kesemua 16 orang suspek itu berusia antara 18 hingga 39 tahun dan melibatkan seorang wanita tempatan dan seorang lagi keturunan Kadazan dan merampas 36 buah telefon bimbit, dua komputer riba dan Ipad, 14 buku nota, disyaki mempunyai maklumat peribadi mangsa dan 14 bagasi serta kunci rumah.

Menurutnya, setakat ini sindiket berkenaan telah berjaya memperdaya 29 orang mangsa berkerugian wang tunai RM150,000 sejak Januari 2020 hingga sekarang dan nilai rampasan kesemuanya melibatkan RM100,000.

Jelas beliau, ketua geng berkenaan masih bebas dan sedang diburu polis untuk mengenal pasti perancang utama sindiket tersebut.

Mazlan memaklumkan modus operandi mereka adalah menghantar pesanan WhatsApp secara rawak kepada mangsa menggunakan nombor sim yang dibeli termasuk daripada warga asing Bangladesh di sini untuk memerangkap mangsa.

Mangsa-mangsa mereka terdiri daripada pelbagai kategori kerjaya yang mengalami masalah wang.

“Mereka siap menghantar mesej dengan iklan ringkas misalnya ‘Mudah, selamat, cepat dapat kelulusan pinjaman untuk mereka yang memerlukan pinjaman kewangan’.

“Apabila mangsa lihat iklan WhatsApp pinjaman tidak wujud itu, mereka akan menelefon pusat panggilan sindiket (Setapak dan Genting Kelang) yang diserbu polis tadi, yang mana buku nota digunakan suspek mencatatkan segala maklumat peribadi seperti salinan MyKad, penyata akaun bank, alamat, dan sebagainya.

“Dalam masa tiga jam kemudian mangsa akan dimaklumkan pinjaman diluluskan dan akan meminta menjelaskan sejumlah wang pemprosesan, cukai dan bayaran borang pinjaman ke dalam akaun keldai mangsa ketiga dan akan menuntut wang akhir sebelum melepaskan wang pinjaman yang diluluskan.

“Waktu inilah mangsa sedar telah ditipu dan apabila menghubungi semula nombor yang digunakan suspek, talian diputuskan kerana matlamat untuk penipuan tersebut sudah berjaya,” ujarnya.

Dengan tangkapan ini, kesemua 29 laporan mangsa yang tertipu dengan anggaran kerugian sebanyak RM150,000 telah diselesaikan.

“Kesemua suspek direman mulai hari ini untuk disoal siasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan untuk mendapatkan kembali kesemua wang RM150,000 milik mangsa itu.

“Kesemua suspek berkenaan dibayar gaji bulanan RM1,500 hingga RM3,000 oleh Geng Manggo dan menggunakan akaun keldai yang berbeza untuk setiap 29 orang mangsa,” tambah Mazlan yang yakin dapat menjejaki dan menangkap Manggo tidak lama lagi.- MalaysiaGazette