KUALA LUMPUR- Sejak wabak novel koronavirus (Covid-19) muncul pada akhir Disember tahun lepas, jualan topeng muka, hand sanitizer dan sabun anti-bakteria laris seperti pisang goreng panas sehingga banyak farmasi dan kedai kehabisan stok.
Malah harganya juga melambung akibat permintaan yang tinggi.
Namun begitu, orang ramai sebenarnya boleh menggunakan sabun biasa sahaja untuk membunuh virus tersebut pada permukaan kulit.
Dalam satu pesanan khidmat masyarakat oleh Public Health Malaysia di laman Facebook rasminya, halaman yang diuruskan oleh pakar dan petugas kesihatan Malaysia itu menasihatkan orang ramai supaya tidak risau jika sukar mendapatkan stok sanitizer di pasaran.
“Ya. Betul. Bukannya sanitizer tu tak berkesan. Ianya berkesan, cuma sabun lebih menjimatkan.
“Tahukah anda, permukaan Covid-19 adalah lapisan lipid. Dan sabun sangat sukakan komponen lemak.
“Bila komponen sabun bersentuhan dengan virus, virus tersebut terus rapuh seperti rumah yang runtuh bila struktur tiang tiada.
“Jadi, tidak perlu risau jika tiada lagi sanitizer tau. Mak kita masih ada sabun,” katanya.
Bagi mengelakkan wabak membunuh itu terus menular, orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kebersihan terbaik termasuk dengan membasuh tangan selama 20 saat atau kira-kira dua kali nyanyian lagu Selamat Hari Jadi.
Mereka juga digalakkan untuk tidak mengunjungi kawasan padat, bersalaman dan melakukan perjalanan tanpa urusan penting.-MalaysiaGazette