Home Seni Hidup Zulkifli sebak baca surat Wan Aiman

Zulkifli sebak baca surat Wan Aiman

Surat tulisan tangan oleh Wan Aiman kepada Zulkifli.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak autisme bernama Wan Aiman yang sering menjadi perhatian Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mendoakan agar beliau tabah menjalankan amanah sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Menerusi surat tulisan tangan, Wan Aiman atau nama sebenarnya, Wan Azmeen Aiman Wan Ahmad turut mengucapkan tahniah dan kesyukurannya di atas pelantikan Zulkifli itu selain sentiasa berada dalam keadaan sihat.

“Aiman doakan moga Malaysia negara Islam yang aman tenteram. Harapan Aiman, moga semua anak istimewa diberi peluang mengenal Allah dan sentiasa dekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

“Walaupun kami anak autisme, kami juga makhluk ciptaan Allah. Doakan Aiman sentiasa patuh dan taat perintah Allah. Aiman sayang Datuk Seri kerana Allah SWT,” tulisnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bercakap semasa sidang media pada Tausiyah Am agensi agama di bawah kementerian di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 12 MAC 2020.

Surat Wan Aiman yang dikongsikan Zulkifli di laman sosial Facebook miliknya turut mencuit perhatian apabila remaja itu turut menghadiahkan serangkap pantun.

“Dua tiga kucing berlari, manakan sama si kucing belang, doa Aiman setiap hari, moga Allah rahmati Datuk Seri insan terbilang,” katanya.

Warkah Wan Aiman itu jelas mengundang sebak Zulkifli yang berkongsi perasaannya di laman sosial.

“Sebak membaca surat anakanda Wan Aiman yang dikasihi. Bagi yang mengikuti saya sejak beberapa tahun lalu, pasti kenal anakanda Wan Aiman… remaja autisme yang pintar dan amat meminati saya.

“Aiman jual pantun, saya beli ya. Dua tiga kucing berlari, manakan sama si kucing hitam, anakanda Wan Aiman yang Allah kasihi, jangan ditinggal solat malam.

“Itulah kunci kekuatan seorang hamba kepadaNya,” ujar Zulkifli.

Zulkifli dan Wan Aiman pertama kali bertemu pada awal Februari 2017.

Wan Aiman pertama kali menulis surat kepada Zulkifli yang ketika itu merupakan Mufti Wilayah Persekutuan.

Baru berusia 11 tahun ketika itu, dia memberitahu dirinya reda sebagai anak autisme dan boleh berjaya seperti insan lain.

Warkah pada Februari tahun lalu pula mengenai hasratnya dan rakan-rakannya untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran, sekali gus membuatkan hati Zulkifli tersentuh. – MalaysiaGazette