Home Nasional Jangan gunakan agama untuk menafikan hak kanak-kanak – Azalina

Jangan gunakan agama untuk menafikan hak kanak-kanak – Azalina

Azalina Othman Said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Baru empat hari mengangkat sumpah, Timbalan Menteri daripada Pas hari ini ditegur agar tidak menggunakan agama Islam untuk menafikan undang-undang perlindungan kepada kanak-kanak dalam perkahwinan di bawah umur.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan komitmennya untuk memastikan hak kanak-kanak terus dilindungi daripada disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk menghalalkan eksploitasi kanak-kanak melalui perkahwinan.

“YB, jangan gunakan agama untuk menafikan atau memanipulasi undang-undang perlindungan untuk anak-anak kita seperti Kesalahan Seksual Terhadap Akta Kanak-kanak 2017.

“Jangan benarkan pemangsa menggunakan perkahwinan sebagai jalan keluar (atau cara masuk) untuk membenarkan eksploitasi seksual,” katanya ketika menciap di Twitter miliknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff semalam yang akan meneruskan dasar baik yang diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dalam kementeriannya.

Menurut Siti Zailah, bagaimanapun mana-mana dasar termasuk Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur perlu selari dengan al-Quran dan hadis.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang juga mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyuarakan kebimbangannya bahawa pelan strategik itu mungkin diketepikan dengan pelantikan Siti Zailah.

Ini ekoran Zailah, dalam sidang Dewan Rakyat, pernah meminta rakan wakil rakyatnya agar tidak mengaitkan soal perkahwinan bawah umur dengan agama Islam. – MalaysiaGazette