Home Ekonomi Covid-19: AirAsia pulang semula wang atau tukar penerbangan

Covid-19: AirAsia pulang semula wang atau tukar penerbangan

KUALA LUMPUR – AirAsia telah menawarkan penerbangan tambang serendah RM972 sehala ke Seoul, Korea Selatan sepanjang minggu depan.

Bagaimanapun, tinjauan hari ini di laman tempahan popular, SkyScanner mendapati harga tiket masih mahal apabila mencecah melebihi RM2,000 ke destinasi dan tempoh yang sama.

Namun syarikat tambang murah itu pernah membuat kejutan kepada rakyat Malaysia apabila menawarkan harga tidak masuk akal tiket penerbangan ke Korea hanya serendah RM76 sebelum ini.

Promosi itu diadakan selama dua hari bermula 24 Februari lalu bagi tempoh perjalanan dari 1 Mac lalu hingga 31 Oktober depan.

Semalam di media sosial, netizen mempersoalkan tindakan rakyat ini yang masih gemar melancong ke luar negara biarpun dunia dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19.

Malah ada yang mendakwa, jumlah penumpang masih penuh menerusi penerbangan ke Seoul.

Bagaimanapun ia mungkin ada penumpang telah membeli tiket awal ketika kempen promosi sebelum ini dan terpaksa meneruskan rancangan bercuti atau urusan lain.

Ketika ini, masyarakat di seluruh dunia tidak digalakkan untuk melancong ke negara-negara yang terkesan teruk dengan wabak pandemik itu.

Bagaimanapun pastinya sesiapa yang sudah membeli awal tiket penerbangan terpaksa membatalkan niat untuk ke sana agar tidak membahayakan diri dan mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19.

Malah, kerajaan Malaysia turut menyekat perjalanan ke China, Hong Kong, Macau dan Taiwan.

Hal itu menyebabkan AirAsia dan syarikat penerbangan lain terpaksa membatalkan jadual penerbangan ke negara-negara berisiko tinggi.

Menerusi kenyataan di laman webnya, para pelanggan AirAsia ditawarkan dua pilihan sama ada menukarkan jadual perjalanan ataupun membatalkan terus.

Bagi pelanggan yang ingin membatalkan penerbangan, mereka boleh memohon tuntutan terus ke akaun bank anda atau akaun BigPay.

Untuk maklumat, tuntutan itu hanya tempahan penerbangan bermula sekarang hingga ke 31 Mac ini sahaja.

Pelanggan boleh melayari laman sesawang AirAsia di sini dan klik chat with AVA.

Selesai semua langkah yang ditetapkan, status refund akan menunjukkan “dalam proses”.

Kebiasaannya proses tuntutan itu akan mengambil masa dalam 30 hari tetapi ada juga dalam tempoh lebih kurang seminggu wang akan dimasukkan ke akaun sama ada akaun BigPay atau akaun bank. – MalaysiaGazette

+ posts