Home Politik Farhash, cukuplah berpolitik. Hormat titah Sultan Perak – MIC

Farhash, cukuplah berpolitik. Hormat titah Sultan Perak – MIC

Veeran

IPOH – Kenyataan oleh Pengerusi PKR Perak, Farhash  Wafa SalvadorRizal Mubarak yang mempersoalkan pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebenarnya tidak lebih daripada agendanya untuk ‘mengacau’.

Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC) merangkap Timbalan Ketua MIC Bahagian Taiping, Veeran Muniandy hairan dengan segala tindak tanduk pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang kini asyik berbunyi seperti ‘tin kosong’.

“Sebenarnya, saya cukup hairan bukan sahaja dengan pemimpin PH sebaliknya dengan Farhash yang juga Pengerusi PKR untuk sudah lama menjawat jawatan itu, ketika PH masih berkuasa lagi.

“Sebelum ini juga, Ahmad Faizal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah Menteri Besar Perak. Ketika itu anda tidak pula buat bising siapa yang pegang kerusi terbanyak layak pimpin negeri ini?

“Sekarang, sejak wujudnya persefahamaan antara Bersatu, UMNO dan Pas melalui Perikatan (PN), adakah kamu mahu timbulkan isu? Dulu kenapa ‘kecut’ sangat untuk buat bising? Adakah kerana agenda mahu jadikan pemimpin kamu Perdana Menteri? Jadi isu rakyat tidak penting? Begitu?

“Saya mohon lebih baik kamu diam sahaja, hormat titah Sultan Perak, Faizal Azumu juga telah dipilih sekali lagi bukan kerana kebijaksanaan beliau memimpin negeri seperti sebelum ini sebaliknya juga telah mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Farhash melahirkan rasa kecewa dengan pelantikan Faizal Azumu kerana dakwanya berdasarkan pecahan kerusi DUN bagi gabungan PN, UMNO dilihat memiliki kelebihan untuk jawatan Menteri Besar.

Jelas Veeran lagi, selama hampir dua tahun sebelum tumbangnya PH, sememangnya krisis terus bergolak kerana sikap pemimpin dalam kalangan mereka yang asyik berpolitik.

“Jadi mereka sebagai pembangkang ingin mulakan kembali krisis dan isu bagi menimbulkan rasa tidak senang dalam antara kami pula. Saya rasa daripada kamu fokus isu seperti ini, adalah lebih baik beri kepentingan dalam memperjuangkan isu rakyat pula.

“Masa telah banyak terbuang dengan kamu gagal mentadbir negara ketika kerajaan persekutuan dan negeri bersama kamu, apabila sudah tumbang kamu salahkan UMNO kemudian cuba pula laga-lagakan kami.

“Apakah kepentingan rakyat itu tidak penting? Adalah tidak cukup untuk hanya bercakap tentang mandat rakyat sebaliknya kamu semua sepatutnya bekerja ke arahnya, ini tidak siang malam asyik bergaduh sesama sendiri siapa jadi Perdana Menteri,” tegasnya.

9 Mac lepas, Ahmad Faizal telah mengumumkan pembentukan kerajaan PN di Perak menggabungkan UMNO, Pas dan Bersatu dengan 32 kerusi DUN.

UMNO mempunyai 25 kerusi DUN diikuti Bersatu sebanyak empat kerusi dan Pas mempunyai tiga kerusi.

Sebelum ini Isnin lepas, tiga ADUN Perak telah bertindak meninggalkan parti masing-masing dan menyertai PN selain menyatakan sokongan terhadap Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang.

Mereka terdiri daripada ADUN Tronoh daripada DAP, Paul Yong Choo Kiong, ADUN Titi Serong daripada AMANAH, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan ADUN Buntong A Sivasubramaniam (DAP).

Dua bekas ADUN DAP iaitu Choo Kion atau lebih dikenali sebagai Paul Yong dan Sivasubramaniam mengumumkan keluar parti minggu lepas malah membuat pengumuman mengejutkan kononnya DAP Perak cuba menjatuhkan Ahmad Faizal dari awal lagi.

Namun demikian perkara tersebut telah dinafikan oleh DAP sendiri. –MalaysiaGazette

Sah Faizal Azumu dilantik semula MB Perak