KUALA LUMPUR – Berikutan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19, kerajaan diminta menggunakan pengaruhnya untuk mengenakan peraturan-peraturan lebih tegas dalam pelbagai aspek mengikut keperluan dalam menangani krisis.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata, ia selaras dengan Perkara 12 (2) (c) Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, kerajaan bertanggungjawab dalam menghalang, merawat dan mengawal epidemik, endemik, penyakit yang melibatkan pekerjaan dan penyakit-penyakit lain walaupun Malaysia bukan yang menyertai konvensyen itu.
Menurutnya, Suhakam mengambil maklum langkah-langkah positif yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani wabak pandemik ini sepertimana yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa ucapan beliau pada 13 Mac 2020, bahawa proses saringan akan ditambah baik, pelaksanaan sekatan perjalanan keatas ketibaan dari negara yang berisiko tinggi dan meningkatkan jumlah hospital yang dilengkapi dengan kemudahan penjagaan dan rawatan.
Namun, usaha penyelarasan dan koordinasi dengan kementerian-kementerian berkaitan amat perlu demi mengawal dan melaksanakan sebarang sekatan.
Entiti perniagaan, kumpulan agama dan para penganjur pula perlu memainkan peranan untuk menghentikan penularan wabak dengan menangguhkan atau membatalkan sebarang bentuk perhimpunan sehingga kadar kes yang semakin meningkat berjaya dikurangkan.
Katanya,walaupun situasi semasa dikatakan masih terkawal keadaan ini boleh menjadi lebih buruk hingga tahap krisis sekiranya masyarakat masih bersikap tidak acuh dan gagal mengenali keadaan pandemik yang sebenarnya.
Sehubungan itu, Suhakam mengingatkan orang ramai mengamalkan langkah-langkah asas bagi mengelakkan jangkitan termasuk menjaga kebersihan diri, menjaga jarak sosial, mengelakkan tempat tumpuan ramai, bekerja dari rumah dan mengehadkan perjalanan sekiranya tiada keperluan; termasuk mematuhi nasihat dan mengikuti maklumat terkini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. – MalaysiaGazette