Home Ekonomi LAKSANA pantau pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi

LAKSANA pantau pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi

Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Sebuah Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ditubuhkan Kementerian Kewangan bagi memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020)

LAKSANA akan memastikan pelaksanaan langkah baharu dan penambahbaikan PRE 2020, selain membuat laporan secara berkala kepada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi berhubung status pelaksanaan dan pencapaian inisiatif berkaitan rangsangan ekonomi.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi mingguan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri akan memantau perkembangan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah tambahan serta penambahbaikan ke atas PRE 2020.

”Saya percaya penubuhan unit ini akan memastikan inisiatif yang diumumkan di bawah PRE 2020 dan inisiatif selanjutnya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat dengan sempurna bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan kebajikan rakyat dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

PRE 2020 bernilai RM20 bilion telah diumumkan pada 27 Februari 2020 (Khamis) bagi memastikan risiko ekonomi berikutan penularan wabak Covid-19 dapat ditangani.

Pelan itu berasaskan tiga strategi iaitu menangani impak Covid-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti. – MalaysiaGazette