KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar pelabur asing sebanyak RM1.9 bilion pada minggu lalu.
MIDF Research dalam laporannya berkata, Malaysia merekodkan aliran keluar bersih asing yang kedua paling rendah setakat tahun ini berbanding dengan enam negara Asia lain.
“Jualan bersih asing minggu lalu menjadikan jumlah aliran keluar oleh pelabur luar dari Malaysia pada tahun ini sebanyak RM5.21 bilion,” kata firma penyelidikan itu.
Menurutnya, bursa bermula pada minggu lalu dengan menyaksikan jualan asing sebanyak RM459.9 juta pada hari Isnin. yang dicetuskan oleh kejatuhan harga minyak disebabkan oleh Arab Saudi, Rusia dan pengeluar minyak lain yang gagal bersetuju berhubung cadangan pengurangan bekalan.
Tetapi jumlah pelupusan ekuiti oleh pelabur asing berkurangan pada hari Selasa kepada RM257 juta dan meningkat semula kepada RM320 juta pada hari Rabu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan koronavirus adalah pandemik global.
Menurutnya, hari Jumaat adalah hari terburuk bagi bursa sejak tahun 2008 selepas pasaran tempatan itu susut sebanyak 5.3% kepada 1,344.8 mata.
Serentak itu, pelabur asing menjual sebanyak RM482.7 juta saham. – MalaysiaGazette