Home Nasional Pembukaan sidang DUN Selangor dipendekkan

Pembukaan sidang DUN Selangor dipendekkan

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap kepada media pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor yang ke 14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 MAC 2020

SHAH ALAM – Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14 hari ini terpaksa diringkaskan bagi menangani penularan wabak Covid-19 khususnya yang melibatkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, istiadat itu kali ini telah membatalkan beberapa upacara termasuk perbarisan kehormat dan santapan DiRaja.

“Hari ini kita tak anjurkan majlis perbarisan kehormatan kerana ingin mengelakkan acara panjang dan pertemuan ramai.

“Namun kita teruskan dengan sesi titah Sultan Selangor dan istiadat ini dipendekkan adalah atas pertimbangan Speaker serta atas titah dan maklum balas Tuanku.

“Kita nak buat kawalan dan kurangkan kontak hubungan individu dengan individu supaya menghalang penyebaran wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita di pekarangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14, di sini, hari ini.

Susulan kawalan wabak Covid-19 itu juga, sidang Dewan Negeri Selangor kali ini juga hanya mengutamakan perbahasan yang perlu sahaja.

“Saya berharap setiap butir perbahasan akan dibahaskan perkara-perkara yang penting dan perlu sahaja.

“Antaranya isu pembangunan Selangor dan kelancaran pentadbiran Selangor sebagaimana yang dititahkan DYMM Tuanku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette