PUTRAJAYA – Mengambil kira situasi penularan pandemik Covid-19 yang semakin meruncingkan ketika ini, semua pertubuhan, organisasi atau persatuan dilarang mengadakan sebarang program atau persidangan sehingga 30 Jun ini.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berkata, tindakan itu diambil selaras dengan arahan-arahan pencegahan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan kerajaan yang mahu segala perhimpunan termasuk mesyuarat ditangguhkan atau dibatalkan bagi satu tempoh tertentu.
“Memandangkan situasi penularan COVID-19 ini semakin meruncing ketika ini, semua pertubuhan adalah dilarang daripada mengadakan program, aktiviti, persidangan, perhimpunan atau mesyuarat agung pertubuhan sehingga 30 Jun 2020.
“Larangan tersebut adalah selaras dengan arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan dekat sini.
Tambah kenyataan JPPM, larangan itu adalah terpakai di setiap peringkat pertubuhan termasuk cawangan-cawangan di seluruh negara.
Menurut JPPM lagi, arahan khas yang dikeluarkan ini adalah selaras dengan kuasa-kuasa Pendaftar di bawah peruntukan Seksyen 3A, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].
“Namun, sekiranya sehingga pada tarikh 30 Jun 2020 wabak COVID-19 masih dalam situasi meruncing maka pertubuhan hendaklah mengemukakan permohonan kepada JPPM untuk pertimbangan bagi lanjutan tempoh daripada tarikh awal yang telah ditetapkan.
“Permohonan lanjutan ini bertujuan mengelakkan penyalahgunaan oleh pertubuhan berdaftar ke atas undang-undang tubuh pertubuhan serta Akta 335.
“Adalah diharapkan agar segala usaha dan langkah pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan dapat membantu mencegah penularan Covid-19, sekali gus melindungi rakyat Malaysia daripada wabak ini,” tegas jabatan itu.-MalaysiaGazette