KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mempertimbangkan untuk menutup pintu keluar dan masuk negara dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus di negara ini.
Malaysia telah menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 mendadak dalam tempoh hari, sekali gus menjadikan kes itu tertinggi di rantau ini.
Oleh itu, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia mahu kerajaan membuat keputusan secepat mungkin untuk membendung penularan Covid-19 ini meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia dan petugas-petugasnya telah bertungkus -lumus memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
Namun, Ketuanya, Shahir Adnan berkata, kerajaan perlu melaksanakan langkah proaktif sebelum keadaan menjadi lebih teruk.
Selain melaksanakan penutupan pintu keluar, masuk negara, beliau turut mencadangkan kerajaan cuti persekolahan hingga akhir bulan Mac agar anak-anak tidak terdedah kepada risiko virus tersebut.
Kerajaan juga diminta mempertimbangkan supaya pekerja yang dikuarantinkan diberi cuti bergaji dan pilihan kerja di rumah,
Tahun Melawat Malaysia 2020 pula ditunda ke tahun depan.
Shahir berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan dana tambahan untuk Kementerian Kesihatan dalam menangani Covid-19.
”Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menggesa kementerian-kementerian lain untuk mematuhi keputusan untuk tidak meneruskan apa-apa program yang melibatkan perhimpunan orang ramai,” katanya sambil melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak tertentu meneruskan program promosi pelancongan di sebalik amaran yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.
‘Katanya, keadaan seperti ini menunjukkan kepincangan dalam kerajaan, apabila Menteri-Menteri tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri. – MalaysiaGazette