Home Sukan Sukan Para ASEAN Filipina 2020 buka tirai 3 Oktober ini

Sukan Para ASEAN Filipina 2020 buka tirai 3 Oktober ini

Osoth Bhavilai

KUALA LUMPUR – Sukan Para ASEAN Filipina 2020 yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 27 Mac ini ditetapkan ke tarikh baharu pada pada 3 hingga 9 Oktober ini.

Lembaga Gabenor (BoG) Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) selaku Pembuat Keputusan Bertahap Tinggi APSF membuat ketetapan itu selepas mengadakan mesyuarat tergempar menerusi sidang video untuk membuat ketetapan mengenai status Sukan Para ASEAN Filipina 2020.

Mesyuarat itu berlangsung bagi menentukan nasib temasya yang ke-10 kali ini ekoran pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan negara Asia Tenggara yang menganggotai persekutuan tersebut.

Para Presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan dan wakil negara Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam kesemuanya hadir ke pertemuan secara sidang video selama dua jam dan dipengerusikan oleh Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina, Michael Barredo.

Bagaimanapun Myanmar dan Brunei gagal menyertai mesyuarat itu.

Setiausaha Agung BoG APSF Major General Osoth Bhavilai berkata, hasil mesyuarat itu telah bersetuju temasya kali ini akan dipindahkan dari 21 hingga 27 Mac kepada 3-9 Oktober tahun ini dengan syarat Pandemik Covid-19 selesai dikawal dan tidak lagi mengancam manusia ketika itu.

“Penentuan tarikh baharu itu juga sebagai langkah kita membantu tuan rumah Filipina mudah membuat persiapan yang sewajarnya tanpa masalah.

“Lembaga berkenaan juga bersetuju untuk bermesyuarat kali kedua pada akhir Julai 2020 untuk menilai situasi Covid-19 sebelum mengesahkan dan meneruskan agenda yang ditetapkan pada tarikh baharu itu.

“Ia selaras dengan peraturan bahawa tuan rumah memaklumkan APSF sekurang-kurangnya 60 hari sebelum sukan dimulakan sebagai langkah memberi ruang dan masa untuk Jawatankuasa Kordinasi APSF membuat pemeriksaan fasiliti sukan dan tahap kesediaan mereka memulakan temasya,” katanya dalam kenyataan media di Facebook rasmi APSF hari ini.

Pandemik global itu memaksa penangguhan dan pembatalan majoriti acara sukan di dunia ini pada bulan akan datang.

Katanya, APSF secara tegas mematuhi garis panduan dan langkah pencegahan yang disusun oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa kesihatan untuk membantu mengendalikan pandemik berkenaan di setiap negara rantau ASEAN.

“Ia penting bagi melindungi kesihatan, kebajikan dan keselamatan para atlet, pegawai dan kontinjen setiap negara yang akan datang ke Filipinan nanti.

“Lembaga Gabenor mengucapkan setinggi penghargaan kepada jawatankuasa Para ASEAN Filipina, ahli anggota, atlet, pegawai dan semua pihak berkepentingan serta agensi-agensi sukan atas toleransi, sikap memahami dan kerjasama untuk memastikan keselamatan para atlet sukan Para ASEAN ke arah kejayaan sepanjang berlangsungnya temasya kali ini,” katanya.- MalaysiaGazette