Home Utama Tidak mudah laksana perintah berkurung – Amirudin

Tidak mudah laksana perintah berkurung – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diambil suhu badan ketika hadir pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor yang ke 14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 16 MAC 2020

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor belum bercadang untuk melaksanakan perintah berkurung bagi mengawal penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bukan mudah untuk melaksanakan perintah berkurung kerana banyak persediaan perlu dilakukan.

“Iyalah, kalau nak lakukan perintah berkurung ini, ia melibatkan tentera, pihak keselamatan, bekalan makanan dan sebagainya.

“Persediaan harus dibuat, ia tidak boleh semudah-mudah umum perintah berkurung. Ada cadangan tapi tidak mudah (dilakukan),” katanya kepada pemberita di pekarangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau mengulas wujud cadangan untuk melaksanakan perintah berkurung bagi mengawal penularan wabak Covid-19 selepas Malaysia mencatatkan peningkatan mendadak sehingga 428 kes positif sejak semalam.

Dalam pada itu, Amirudin juga menegaskan, kerajaan negeri perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah dan tahap kesihatan sedia ada.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab kita kena ambil kira semua perkara, mereka yang sakit, mereka yang tinggal di rumah, mereka yang berpendapatan rendah.

“Kalau kita umum dalam keadaan tergesa-gesa, panik yang berleluasa akan berlaku.

Over panic (panik melampau) itu akan menyebabkan pembelian panik yang tidak menguntungkan sesiapa.

“Justeru saya percaya kita boleh mengawalnya lagi walaupun keadaan agak membimbangkan,” katanya lagi.

Sementara itu, Amirudin yang memaklumkan sebarang perkembangan mengenai Covid-19 selepas beliau menghadiri taklimat badan bertindak wabak itu, petang ini.

“Petang ini saya akan bertemu dengan pihak badan bertindak Selangor untuk meneliti beberapa cadangan.

“Mereka telah bermesyuarat Jumaat dan Sabtu lalu dan hari ini mereka akan melaporkan tindakan yang perlu dilakukan untuk menangani Covid-19

“Selepas saya jumpa mereka petang ini, saya akan mengumumkan beberapa perkara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette