Home Nasional KSN mohon maaf, khilaf punca MB, KM Pakatan Harapan tak dijemput

KSN mohon maaf, khilaf punca MB, KM Pakatan Harapan tak dijemput

Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir mesyuarat bagi menangani wabak Covid-19 seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin.

Bagaimanapun, beliau memohon maaf kerana telah berlaku kekhilafan apabila jemputan mesyuarat yang terbaharu hanya dikeluarkan kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan negeri dari parti komponen kerajaan Persekutuan.

Bagi Negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah, hanya Pengarah Pembangunan Negeri yang dijemput hadir.

“Sekali lagi ditegaskan, bahawa YAB Perdana Menteri memandang serius tentang perkara ini dan menyatakan pendirian jelas beliau untuk bekerjasama dengan semua Kerajaan Negeri tanpa mengambil kira apa jua latar belakang parti politik khususnya berkaitan perkara yang menjadi kepentingan utama negara seperti wabak Coronavirus (COVID-19),” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Mohd Zuki, Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan supaya semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir mesyuarat khas bagi menangani penularan COVID-19 pada masa akan datang.

Artikel berkaitan: Negeri-negeri Pakatan Harapan terkejut tidak diundang bincang Covid-19

Artikel berkaitan: Amirudin kesal mesyuarat khas Covid-19 tak libatkan Selangor

Hari ini Setiausaha Pakatan Harapan melahirkan rasa kesal dan terkejut apabila Ketua Menteri dan Menteri Besar negeri-negeri Pakatan Harapan tidak dijemput untuk membincangkan isu penting iaitu Covid-19. – MalaysiaGazette