Home Nasional Menteri akui penutup hidung dan mulut tidak mencukupi

Menteri akui penutup hidung dan mulut tidak mencukupi

Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA – Bekalan penutup hidung dan mulut kehabisan stok disebabkan orang ramai membelinya dengan kuantiti yang banyak, selain masalah untuk mendapatkan bekalan dari China dan Eropah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, Malaysia mempunyai empat kilang yang menghasilkan penutup hidung dan mulut dan kilang-kilang itu bekerja siang malam untuk menghasilkan bekalan yang mencukupi.

”Kita juga sebenarnya mengimport penutup hidung dan mulut dari China dan negara Eropah namun anda semua tahu apakah yang sedang berlaku di negara-negara ini.

”Keadaan negara-negara ini lebih teruk berbanding Malaysia sejak penularan wabak Covid-19 ini tetapi kita sedang sedaya-upaya memastikan sentiasa ada stok,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai berhenti membeli dengan jumlah banyak, sebaliknya untuk kegunaan sahaja. Jika tidak, memang sukar untuk memenuhi permintaan.

Alexander juga membayangkan kemungkinan negara akan menghentikan eksport keperluan itu untuk memastikan stok di dalam negara mencukupi.

Mengulas mengenai harga cecair pembasmi kuman yang didakwa dijual pada harga tinggi, Alexander berkata, produk itu tidak termasuk dalam harga kawalan pada masa ini, lantaran itu kemungkinan ianya dijual dengan mahal kerana permintaan tinggi.

”Oleh kerana itu saya minta jangan ada pembelian panik,” jelasnya. -MalaysiaGazette