SHAH ALAM – Langkah Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakaan mulai 18 Mac ini bagi menangani penularan wabak Covid-19 merupakan tindakan tepat pada masanya.
Ketua Pembangkang, Rizam Ismail berkata, sekiranya langkah segera tidak diambil oleh kerajaan, jumlah pesakit yang positif dengan wabak itu akan terus bertambah dan ia boleh menimbulkan kegelisahan rakyat.
“Saya melihat langkah ini amat bertepatan ketika ini kerana kita dapat melihat sejak sehari dua ini bahawa kadar kenaikan mereka yang dijangkiti Covid-19 naik dengan begitu mendadak dari 238 kes kepada 566 kes ketika ini.
“Kita bimbang sekiranya tiada langkah kawalan ini dilaksanakan dengan drastik, ia akan menyebabkan lebih ramai lagi orang awam yang akan terkena jangkitan,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Annex, di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.
Menurut Muhyiddin, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Katanya, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Dalam pada itu, sebagai langkah awal untuk mematuhi perintah itu, Rizam berkata langkah Dewan Negeri Selangor yang menangguhkan persidangannya bermula esok perlu diikuti oleh semua masyarakat di negeri itu.
“Saya berharap dengan adanya langkah pencegahan ini, semua masyarakat khususnya di Selangor dapat mematuhi sepenuhnya langkah pencegahan Covid-19 ini yang baru diumumkan, malam tadi,” katanya.
Katanya lagi, langkah penangguhan itu dibuat setelah semua Ahli Dewan Negeri Selangor sama ada kerajaan mahupun pembangkang sebulat suara bersetuju agar usul itu dilaksanakan serta-merta.
“Sidang Dewan Negeri sudah tangguh dan ia merupakan persetujuan semua ADUN agar sidang Dewan Negeri dipendekkan dan ditamatkan jam 12 tengahari tadi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette