Home Ekonomi PKS mahu peruntukan lebih besar dalam pakej rangsangan

PKS mahu peruntukan lebih besar dalam pakej rangsangan

Shahul Dawood bercakap pada sidang media mengenai isu-isu PKS yang terjejas akibat Covid-19 di Jungle Gym, Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Pakej Rangsangan Ekonomi kedua perlu dilaksanakan segera susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan akan bermula esok.

Setiausaha Sekteteriat Jawatankuasa Khas Bertindak Peniaga Bagi Menghadapi Covid-19 Shahul Dawood berkata,  peruntukan sebanyak RM3.5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumum pada 27 Februari lalu tidak cukup untuk membantu sektor itu menangani impak wabak yang sedang dibendung kerajaan.

Walau bagaimanapun beliau tidak memberikan jumlah anggaran tambahan peruntukan yang diperlukan oleh PKS.

Selain itu, Shahul berkata, PKS juga mahu institusi perbankan menangguhkan sekurang-kurangnya enam bulan untuk semua sektor keusahawanan membayar pinjaman masing-masing.

“Pihak bank tidak sepatutnya sangsi terhadap  mana-mana syarikat yang menangguhkan pembayaran pinjaman syarikat terutama dalam situasi krisis.

Di samping itu, beliau yang mewakili 100 NGO usahawan memohon supaya kadar pinjaman ditetapkan 3% dan dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Wakil NGO pengusaha itu juga memohon agar kerajaan memberikan insentif kepada sektor digital teknologi.

“Bagi usahawan yang menyewa tanah komersial untuk premis perniagaan juga perlu diberikan potongan harga sehingga 50% untuk tempoh enam bulan,” tambahnya.

Beliau memaklumkan tuntutan ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan selewatnya petang ini agar isu ini dipertimbangkan segera.

“Sebab ini masalah yang serius pada masa ini dan perlu ditangani segera,” ujarnya.

Untuk rekod, 27 Februari lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 berjumlah RM20 bilion yang ditunjangi tiga strategi utama.

Tiga strategi tersebut ialah menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti untuk memastikan ekonomi negara berada di landasan yang mampan. -MalaysiaGazette