Home Utama Sidang Dewan Negeri Selangor ditangguh, akur perintah kawalan Covid-19 

Sidang Dewan Negeri Selangor ditangguh, akur perintah kawalan Covid-19 

Ng Suee Lim

SHAH ALAM – Dewan Negeri Selangor hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berkata, persidangan kali ini terpaksa dipendekkan dari dua minggu kepada dua hari bagi selepas semua ahli Dewan Negeri Selangor sebulat suara untuk mematuhi arahan itu.

“Persidangan kali ini sebenarnya kita jadualkan dua minggu tetapi oleh kerana berlaku keadaan di luar kawalan, di mana penularan Covid-19 semakin kritikal dan menjadi pandemik.

“Semalam Perdana Menteri mengumumkan langkah-langkah dan sekatan terbaru, hari ini kita semua ahli Dewan sama ada Kerajaan mahupun pembangkang bersetuju dan bersefahaman untuk kita ringkaskan persidangan

“Bahkan mereka tidak ambil banyak bahagian dalam perbahasan dan oleh kerana itu kita dapat pendekkan setengah hari untuk ditangguhkan dewan,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Annex, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membawa usul menangguhkan persidangan Dewan Negeri Selangor pada penghujung sesi perbahasan tengahari tadi.

Amirudin juga sempat memohon maaf kepada semua ahli Dewan Negeri Selangor kerana terpaksa membawa usul penangguhan tersebut demi memastikan usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 berkesan.

“Saya mengucapkan banyak maaf kepada seluruh ahli Dewan disebabkan beberapa urusan dan keadaan situasi semasa kita harus memendekkan sidang ini dan menghadkan usaha serta perbahasan yang sewajarnya timbul,” katanya lagi.

“Di saat kita berdepan dengan peningkatan mendadak kes-kes Covid-19 dan beberapa isu berlarutan, kita harus meletakkan keutamaan dalam semua tindakan kita.

“Justeru kerajaan negeri akan meletakkan kerjasama yang cukup kukuh dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” katanya semasa pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor, tengahari tadi.

Dalam pada itu, Suee Lim menegaskan bahawa langkah memendekkan persidangan itu bukan bertujuan untuk menghalang mana-mana ahli Dewan Negeri Selangor mengambil bahagian dalam perbahasan sebaliknya lebih kepada kemaslahatan umum.

“Sebenarnya ini adalah tindakan ad-hoc kerana terpaksa dan bukan kita tak mahu membuka ruang yang secukupnya untuk membahaskan permasalahan rakyat dan isu-isu berkaitan politik dan sebagainya.

“Persidangan kali ini singkat, dua hari, bukan kita nak singkatkan tapi kerana keadaan Covid-19 yang membimbangkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette