Home Sukan Covid-19: Jackie Wong kini stabil

Covid-19: Jackie Wong kini stabil

Foto Facebook Jackie Wong

KUALA LUMPUR – Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong yang disahkan positif Covid-19 berada dalam keadaan stabil dan sihat.

Menerusi laman Facebook miliknya, Jackie berkata, dia kini menjalani pemantauan dan rawatan lanjut di Hospital Sibu selepas muncul atlet pertama negara positif pandemik berkenaan kelmarin.

Dia turut menasihati netizen supaya tidak berkongsi sebarang berita yang tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya juga ingin menegur di sini supaya jangan mengeluarkan atau berkongsi berita-berita yang palsu dan belum disahkan oleh KKM. Anda amat dihargai!,” katanya.

Ayah Jackie, Ahli Parlimen Sarikei,Wong Ling Biu disahkan positif Covid-19 sehari sebelumnya.

“Mengenai dengan ayah saya (Ling Biu), keadaan beliau pada hari ini lebih baik berbanding beberapa hari lepas, meskipun masih menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya sambil meminta rakan-rakan Facebooknya untuk terus berdoa untuk ayah dan keluarganya.

Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi dengan jarak 68.22 meter. – MalaysiaGazette