Home Nasional Negeri Sembilan peruntuk RM3 juta beli barang keperluan rakyat

Negeri Sembilan peruntuk RM3 juta beli barang keperluan rakyat

Aminuddin Harun

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian bantuan barangan keperluan kepada  golongan kurang berkemampuan dan yang terjejas pendapatannya akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Aminuddin Harun, sebanyak RM3 juta diperuntuk untuk bantuan keperluan itu.

Katanya lagi, kerajaan negeri itu juga membayar gaji penjawat awam lebih awal iaitu pada 20 Mac ini termasuklah pemberian Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kerajaan Negeri Sembilan pada 18 Mac 2020 (Rabu) telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi mengurangkan beban rakyat serta usaha-usaha untuk menangani penularan wabak Covid-19 di Negeri Sembilan.

“Bantuan keperluan asas sebanyak RM3.0 juta berbentuk barangan keperluan harian kepada individu berpendapatan rendah yang terjejas punca pendapatan harian akibat Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tempoh akhir pembayaran cukai tanah juga dilanjutkan sehingga 31 Julai tanpa denda lewat.

Selain itu beliau memaklumkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Sembilan (PKOBNS) yang bertempat di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dibuka 24 jam sehari bagi menangani COVID-19.

Pusat tersebut telah mula beroperasi 15 Mac yang lalu.

Kerajaan negeri juga ujar Aminuddin lagi akan mengeluarkan Garis Panduan Perintah Kawalan Pergerakan Penjawat Awam Negeri Sembilan.

“Mesyuarat Penyelarasan Kluster COVID-19 Peringkat Negeri Sembilan yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan akan bermesyuarat dengan lebih kerap bagi menangani isu-isu yang timbul,” katanya.- MalaysiaGazette