KUALA LUMPUR- Peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi perlaksanaan projek-projek kecil meliputi pembangunan serta infrastruktur akan memberi impak positif kepada kitaran ekonomi industri pembinaan.
Ia seterusnya menampung kekurangan tender kontrak di dalam pasaran sebelum ini, kata Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan (PKMM-WP), Datuk Amran Mohamad.
Justeru, pihaknya menyambut baik dan menyokong penuh perlaksanaan langkah tambahan sebagai inisiatif memperkukuhkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Menurut Amran, pihaknya menyanjung tinggi keprihatinan kerajaan menyediakan pakej rangsangan kepada kontraktor terutamanya kalangan kontraktor kecil kelas G1 yang turut meraih manfaatnya.
“Rata-rata semua kontraktor berasa lega dan juga menyambut baik pengumuman yang telah dibuat. Pakej ransangan ini seolah memberi sinar baharu bagi mereka untuk terus kekal di dalam industri binaan tempatan.
“Dalam situasi semasa di mana semua maklum berkenaan ancaman penularan wabak Covid-19 di merata dunia, kami (PKMMWP) juga terkesan dari segi penguncupan ekonomi, namun dengan pakej tambahan telah diumumkan secara tidak langsung membantu menyumbang kepada peningkatan dapatan isi rumah,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Dalam pada itu, Amran menjelaskan, PKMM(WP) turut menyokong dasar dan pelan tindakan oleh kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 dan berharap semua warga kontraktor dapat memberikan kerjasama penuh seterusnya bersama-sama membantu pihak kerajaan dalam perlaksanaan perintah kawalan pergerakan.
“Perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 perlu dipatuhi oleh semua pihak demi kebaikan bersama.
“Kami berharap dengan pematuhan, mempraktik amalan serta langkah penjagaan kebersihan seperti yang disaran pihak berkuasa kesihatan, ia dapat membendung penularan wabak COVID-19 pada kadar segera, dan membolehkan anggota masyarakat kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa, ” katanya. – MalaysiaGazette