Home Nasional Pulihkan ekonomi, pemimpin jangan berbalah sesama sendiri

Pulihkan ekonomi, pemimpin jangan berbalah sesama sendiri

Datuk Moehamad Izat Emir

KUALA LUMPUR – Kesemua pemimpin di negara ini disarankan memainkan peranan membantu kerajaan dalam usaha memulihkan ekonomi daripada bertelagah isu politik sesama sendiri.

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, perkara penting sekarang adalah menyumbang buah fikiran untuk menggerakkan domestik ekonomi negara.

Perkara itu adalah penting ekoran kelembapan pasaran global seperti harga minyak mentah jatuh USD30 setong dan indeks pasaran saham negara turun ke paras 1300 mata serta isu Covid-19, katanya.

“Yang menyedihkan saya, kita kini telah dijangkiti penyakit bahaya lebih dahsyat daripada Covid-19 iaitu tidak berhenti mencari kesalahan dengan mengumpat dan mengata dalam kalangan pemimpin.

“Macam mana masyarakat hendak maju, kalau terus menyerang sesama sendiri. Saya dukacita apabila masyarakat tidak henti-henti melakukan kritik kepada bangsanya sendiri terutamanya mereka yang baru menyandang jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada ketika ini, bukan masa untuk menunding jari untuk menyalahkan mana-mana pihak dalam pelbagai isu negara.

“Jika masih ada pihak asyik menyalah itu ini, ia tidak membantu menyelesaikan masalah.

“Henti dulu cakap-cakap pasal politik buat masa ini. Lebih mencari titik persamaan untuk membina negara demi kemakmuran rakyat,” jelasnya.

Sebaliknya, memberi ruang kepada kerajaan dan barisan Kabinet baharu untuk memulihkan situasi hal negara yang berdepan isu Covid-19 dan kelembapan ekonomi.

Beliau yakin kesemua barisan Kabinet yang dilantik baru-baru ini mempunyai pengalaman masing-masing untuk mengurus pentadbiran kerajaan sekaligus membantu Perdana Menteri menyelesai isu-isu berkaitan dengan rakyat.

“Jika semua pihak menyokong usaha-usaha yang baik oleh kerajaan, saya yakin ekonomin dan isu wabak ini dapat di atasi,” katanya.- MalaysiaGazette