LONDON – Pasar Raya Tesco di Britain mengurangkan waktu operasi kepada 6 pagi hingga 10 malam berkuatkuasa esok.
Pasar raya tersebut sebelum ini dibuka selama 24 jam untuk awam.
Kini tindakan drastik itu dilaksanakan selepas situasi bertambah rumit apabila warga British mula bertindak menyerbu pasaraya sehingga melakukan pembelian panik untuk menyimpan stok barang ekoran penularan Covid-19.
Tindakan itu didakwa telah memberi kesan kepada golongan pengguna lain yang terpaksa berputih mata kerana kehabisan barang keperluan akibat sikap panik segelintir pengguna.
Para pemilik pasar raya besar di United Kingdom dilaporkan telah membuat keputusan untuk menutup kesemua pasaraya 24 jam pada pukul 10 malam dan dibuka semula 6 pagi.
Para kakitangan setiap pasar raya terlibat dalam perubahan waktu operasi telah dimaklumkan mengenai tindakan terbaharu itu.
Sumber yang memberi maklumat itu enggan mengulas lanjut bagaimanapun difahamkan penguatkuasaan waktu operasi baharu itu dijangkakan Khamis ini.
Malahan beberapa pasaraya besar yang mempunyai premis farmasi mengekalkan waktu operasinya melebihi pukul 10 malam.
Industri makanan di UK menasihati orang ramai supaya berhenti melakukan pembelian panik , namun tidak dipedulikan rakyat.-MalaysiaGazette