KUALA LUMPUR – Bagi memastikan bekalan air yang berterusan, semua kakitangan Ranhill SAJ akan bertugas seperti biasa sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan selama 14 hari yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia, bagi memastikan bekalan air yang berterusan.
Bagaimanapun, syarikat menggalakkan semua pelanggan yang ingin berurusan dengan Ranhill SAJ seperti membayar bil mereka agar melakukannya secara dalam talian dari rumah, katanya dalam satu kenyataan di sini.
”Ranhill SAJ diamanahkan untuk berkhidmat kepada rakyat negeri Johor menerusi pembekalan air dan akan menjalankan tanggungjawab ini terutamanya dalam masa yang sukar seperti sekarang.
”Semua loji bekalan air akan kekal dibuka dan beroperasi sepenuhnya untuk memenuhi keperluan bekalan air rakyat negeri Johor,” katanya.
Rahill SAJ menambah, ia sudah menetapkan langkah-langkah untuk mengurangkan risiko daripada koronavirus kepada para kakitangan dan keluarga mereka.
”Ini adalah masa yang tidak pernah dilalui sebelumnya. Dalam keadaan sekarang, kami kekal fokus dalam apa yang kami lakukan: menyokong satu sama lain dan memenuhi keperluan semua pengguna,” ujarnya. – MalaysiaGazette