Home Nasional Covid-19: Petugas Pos Laju tetap di barisan hadapan bantu negara

Covid-19: Petugas Pos Laju tetap di barisan hadapan bantu negara

Petugas Pos Malaysia, Muhamad Fayruz Yahya melakukan kerja penghantaran barang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang petugas Pos Laju pula, Muhamad Fayruz Yahya, 46, berkata, walaupun negara berdepan dengan Covid-19, namun mereka tetap di barisan hadapan membantu negara.

“Sebagai petugas Pos Laju, kita bertugas seperti askar, untuk pertahankan negara, membantu hantar surat, kalau ada orang minta bantuan kita tolong, nak hantar surat pun kita boleh,” katanya.

Muhammad Fayruz mengakui walaupun bimbang terkena virus berbahaya itu ketika bertugas, namun dia sentiasa melakukan langkah berjaga-jaga.

Muhamad Fayruz Yahya, ketika ditemuramah mengenai Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2020.

“Kita takut juga (terkena jangkitan) kadang-kala kita pakai sarung tangan, penutup mulut dan hidung.

“Kami diberi taklimat macam mana nak serah surat, nak tulis macam mana, kita bercakap kena duduk jauh daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.

Sementara itu, pembantu perubatan, Nasri Mohamad , 24, dari Kuching, orang ramai perlu mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memakai topeng muka dan menjaga kebersihan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain hand sanitizer itu, paling terbaik adalah cuci tangan dengan sabun, ikut langkah daripada KKM.

“Hand sanitizer pun okay, lebih baik guna sabun, minum banyak air sekarang ini, elakkan ke kawasan yang sesak,” katanya.

Pembantu Perubatan, Nasri Mohamad,

Nasri juga mengingatkan orang ramai agar mengurangkan pergerakan keluar rumah dan memastikan tempoh kuarantin 14 hari yang diarahkan kerajaan dipatuhi sepenuhnya.

“Sekarang ini ialah memang amat perlu untuk kita kuarantin di rumah. Kalau nak keluar boleh tapi cuma beli barang keperluan asas atau makanan.

“Kalau boleh wakilkan seorang ahli keluarga saja keluar beli barang keperluan,” katanya.

Nasri turut mengingatkan orang ramai agar tidak pulang ke kampung halaman kerana bimbang virus itu disebarkan tanpa disedari.

“Tak perlulah balik kampung sebab ini boleh menyebabkan virus ini tersebar.

“Kita tak tahu siapa yang dapat virus ini.

“Kalau ada simptom itu, segeralah pergi ke hospital, kalau kita balik kampung, kurantinlah dalam 14 hari, kalau boleh tinggal di mana ada berada,” katanya.

Bagi peniaga kedai runcit di Jalan Masjid India pula, Muhammad Asyraf Muhammad Iqbal, 23, bekalan penutup mulut dan hidung serta hand sanitizer sukar diperolehi di pasaran menyukarkan dia membuat langkah pencegahan.

Peniaga kedai runcit, Muhammad Asyraf Muhammad Iqbal

“Sanitizer semua habis, topeng muka pun habis, nak pakai sendiri pun tak ada, habis macam mana nak beli, mana-mana pun tak ada topeng,” katanya.

Muhammad Asyraf berharap pihak pengurusan bangunan dapat memberi kebenaran kepadanya untuk menutup kedai runcitnya ekoran alat pencegahan Covid-19 sukar diperolehi.

“Sebab ini kedai runcit, semua orang nak beli barang, di sini saja ada, pasal itu buka.

“Orang ramai memang kurang, dalam dua atau tiga hari lagi mungkin kita akan tutup.

“Tunggu kebenaran saja, kita dapat kebenaran kita boleh tutup, memang risau juga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

+ posts