Home Utama Jangan paksa polis sampai tangkap – KPN

Jangan paksa polis sampai tangkap – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menasihatkan pemandu semasa Ops Covid19 pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di sekitar Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 MAC 2020

AMPANG – Semua rakyat negara ini diminta patuh nasihat polis dan mengambil serius penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, jika orang ramai berdegil sehingga mengeruhkan lagi keadaan, polis mungkin terpaksa mengambil tindakan lebih tegas menangkap mereka yang melanggar undang-undang.

Menurut ketua Polis Negara, polis juga tidak mahu mengambil tindakan sehingga ke tahap sebegitu sebaliknya menasihati rakyat supaya mematuhi penguatkuasaan seperti yang diarahkan pihak berkuasa.

“Saya harap orang ramai faham ya, jangan biarkan ia sampai ke tahap bahaya nanti. Tindakan lebih drastik pula, saya tak mahu pun. Polis tak mahupun mengambil tindakan menangkap dan sebagainya.

“Untuk keselamatan orang ramai janganlah kita menjadi selfish, elak perjalanan yang tidak perlu kerana ia akan menambah risiko jangkitan Covid-19, saya minta semua beri kerjasama sebaik-baiknya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau terdahulu turun padang menyertai Operasi Covid-19 sekatan jalan raya yang melibatkan lebih 80 pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kampung Pandan di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, secara keseluruhannya lebih 8500 anggota dan pegawai telah ditugaskan untuk menjalankan operasi dan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap kepada media selepas membuat sekatan jalan raya (Ops Covid19) pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di sekitar Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 MAC 2020

Ditanya mengenai tindakan susulan polis berikutan hanya 60 peratus dalam kalangan rakyat yang mengambil serius dan mematuhi perintah larangan itu, Hamid Bador berkata, atas sebab itu sekatan jalan raya diperbanyakkan di seluruh negara dengan kekuatan anggota yang ada ketika ini.

Ujarnya sebanyak 504 sekatan jalan raya diadakan di seluruh negara pada hari pertama penguakuasaan Perintah Kawalan Pergerakan mencegah Covid-19.

Selepas ini, tegasnya banyak lagi operasi sekatan jalan raya akan diperhebatkan untuk menasihati awam supaya mematuhi larangan yang dikuatkuasakan semalam.

“Masih ada orang ramai yang berdegil dan berkumpul di tempat awam, padang permainan dan sebagainya seolah-olah tidak ada apa apa yang berlaku dan dirisaukan ketika negara sedang menghadapi ancaman Covid-19.

“Jadi kita akan tambah team kita untuk terus menguatkuasakan sekatan jalan raya dan menasihati orang dan saya berterima kasih dan alu-alukan tindakan Menteri Pertahanan kita memberi bantuan dari Angkatan Tentera untuk turun ke lapangan operasi penguatkuasaan,” katanya. – MalaysiaGazette