KUALA LUMPUR – Satu Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Perkhidmatan telah ditubuhkan oleh Kabinet semalam.
Jawatankuasa itu membabitkan 19 kementerian, selain turut disertai oleh Ketua Setiausaha Negara, Majlis Keselamatan Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan semua Ketua Setiausaha Kementerian.
Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuan jawatankuasa itu dibentuk untuk menyelaraskan peranan dan tindakan semua kementerian yang ada kaitan dengan Covid-19.
Sejak ia ditubuhkan semalam, jawatankuasa itu sudah dua kali bermesyuarat dan ia akan berterusan sehingga 31 Mac ini, iaitu hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perintah itu dibuat dalam usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini.
Pada hari ini, katanya, jawatankuasa itu memberi fokus kepada pergerakan rakyat di dalam dan di luar bandar.
Katanya, KKM telah meminta supaya kerajaan menasihat orang ramai tidak membawa anak-anak keluar ketika membeli barangan keperluan.
”Rakyat juga tidak perlu panik untuk membeli barangan keperluan kerana premis-premis itu dibuka.
”Saya dimaklumkan keperluan makanan mencukupi.
“Kementerian Pertanian sudah pun berjumpa dengan pengeluar-pengeluar, keperluan seperti sayur-sayuran, beras dan sebagainya mencukupi.
”Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna yang membuat pemeriksaan juga mendapati bekalan mencukupi,” ujarnya dalam sidang media.
Ismail berkata, kerajaan juga sedang berunding dengan Singapura mengenai 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di republik berkenaan.
Menurutnya, kerajaan telah meminta Singapura membenarkan pekerja-pekerja terbabit terus bekerja dengan syarat Singapura menyediakan tempat tinggal.
”Perkara ini sedang dibincangkan, Insya Allah akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Ismail berkata, setiap hari jam 12 tengah hari jawatankuasa itu akan mengadakan pengumuman terkini.
Manakala KKM pula mengadakan sidang media mengenai perkembangan terbaru Covid-19 setiap hari pada pukul 3 petang.
”Kerajaan sentiasa mengambil tindakan dan pemantauan setiap saat, minit, setiap jam. Kita menteri-menteri setiap hari akan berjumpa.
”Menteri-menteri tidak alpa apa yang berlaku pada hari ini. Kementerian-kementerian pula akan melapor setiap pagi.
”Jika ada tuduhan menteri-menteri langsung tidak mengambil tahu, ia adalah fitnah kerana setiap menteri akan memaklumkan kementerian masing-masing tiap-tiap hari,” tegasnya. – MalaysiaGazette