Home Seni Hidup Kisah gadis Food Panda

Kisah gadis Food Panda

Nurpitriati Mias

AMPANG – Biarpun sibuk menghantar makanan yang dipesan pelanggan menerusi khidmat Food Panda, namun gadis berusia 23 tahun ini sentiasa memandang serius Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan mulai semalam.

Malah Nursyapitri Mias mengakui para pelanggan yang membuat pesanan juga mula sedar tentang bahaya wabak Covid-19 apabila mereka mahu setiap pesanan yang dihantar hanya diletakkan di hadapan rumah tanpa perlu bersemuka.

Beliau yang melakukan penghantaran secara sambilan meneruskan kerja tersebut demi survival biar pun ada kebimbangan tentang penularan wabak yang kini diisytiharkan pandemik itu.

Tidak mengetepikan aspek keselamatan kesihatan, pekerja di sebuah hotel itu memberitahu, pesanan yang diterima juga meningkat berikutan kebimbangan orang ramai untuk keluar rumah kerana tidak mahu melanggar arahan kerajaan.

“Sejak semalam, saya tidak dapat masa untuk berehat, tidak putus-putus menghantar pesanan pelanggan.

“Setiap tempahan makanan yang diterima, saya diminta pelanggan meletakkan di pintu masuk rumah sahaja dan mereka tidak bersemuka kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Itu petanda baik mereka (rakyat) ambil serius saranan kerajaan mematuhi perintah Covid-19,” katanya ketika ditemui semasa Operasi Sekatan Jalan Raya Covid-19 oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di Ampang.

Berkongsi pengalaman hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, Nursyapitri berkata, semalam beliau menerima lebih 20 tempahan makanan untuk dihantar kepada pelanggan.

Katanya, hotel tempat beliau bekerja ditutup sementara berikutan perintah tersebut membolehkannya menggunakan ruang masa yang ada untuk melakukan kerja-kerja penghantaran makanan.

“Dua minggu hotel tutup bolehlah saya cari wang,” katanya.

Operasi Sekatan Jalan Raya Covid-19 oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju bertujuan menasihati orang awam supaya mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa melindungi diri supaya tidak dijangkiti virus yang kini sudah mengorbankan dua nyawa di Malaysia.

Kempen ini bertujuan meningkatkan lagi kesedaran dan pemahaman rakyat supaya mengambil serius penguatkuasaan Kawalan Pergerakan apabila setakat ini hanya 60 peratus rakyat sahaja mematuhi larangan tersebut di seluruh negara.

Polis kini memulakan sekatan lebih kerap di jalan raya seluruh dunia untuk menasihati awam dan mendesak mereka mengurangkan kekerapan keluar rumah.-  MalaysiaGazette