KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan besar menurunkan lagi nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) daripada paras semasa 2.0 peratus bagi menyuntik lebih banyak mudah tunai dalam sistem perbankan, demikian menurut Affin Hwang Capital Research hari ini.
“Langkah itu berserta tindakan BNM menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini menyebabkan kami berpendapat bahawa wujud keperluan di pihak bank pusat itu untuk melaksanakan kelonggaran dasar monetari secara agresif dengan mengurangkan lagi SRR.
“Ini bagi meningkatkan dana pinjaman untuk bank menerusi rizab dan mewujudkan kredit,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
“Kami percaya impak negatif penularan COVID-19 dan penyusutan harga minyak mentah global terhadap ekonomi domestik dijangka berterusan sehingga suku kedua 2020,” kata firma itu.
Semalam, BNM mengumumkan untuk menurunkan SRR kepada 2.0 peratus daripada 3.0 peratus, berkuat kuasa 20 Mac, 2020, sekali gus menjadikan SRR pada kadar terendah sejak April 2011.
Di samping itu, menurut bank pusat itu, setiap Peniaga Utama boleh mengambil kira Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sehingga RM1 bilion sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR dengan fleksibiliti itu tersedia sehingga 31 Mac, 2021.
Susulan langkah itu, BNM menjangkakan penambahan kira-kira RM30 bilion mudah tunai ke dalam sistem perbankan.
Pada November 2019, BNM bertindak menurunkan SRR sebanyak 50 mata asas kepada 3.0 peratus daripada 3.5 peratus – pengurangan pertama sejak Februari 2016.
Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata walaupun pertumbuhan penawaran wang meluas (M3) kukuh pada kadar 3.9 peratus tahun ke tahun pada Januari daripada 3.5 peratus pada Disember lepas, pertumbuhan M3 itu berkemungkinan telah perlahan secara ketara pada Februari dan Mac.
Ini berikutan aliran keluar dana asing daripada pasaran domestik akibat penularan COVID-19 dan kejatuhan harga minyak global.
Menurut Affin Hwang Capital Research, pandemik itu menyebabkan kesan limpahan negatif terhadap ekonomi negara, khususnya ketika Malaysia diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa 18-31 Mac bagi membendung COVID-19.
“Kami berpendapat bahawa penurunan SRR itu juga sebagai memberi sokongan dan meningkatkan pinjaman untuk isi rumah dan perniagaan,” katanya.
Dari segi dasar monetari, ia percaya BNM akan menurunkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus pada mesyuarat akan datang Jawatankuasa Dasar Monetari pada 5 Mei depan.
BNM telah melaksanakan pengurangan OPR sebanyak 50 mata asas pada dua mesyuarat pertama tahun ini iaitu pada Januari dan Mac lepas.
“Selain langkah dasar monetari, kami juga percaya terdapat keperluan segera bagi kerajaan melakukan langkah susulan dengan menyediakan lebih banyak rangsangan fiskal sebagai menyokong ekonomi domestik daripada impak pandemik COVID-19 serta rantaian bekalan global yang mungkin menjejaskan eksport dan pengeluaran pembuatan negara ini,” katanya.
Kerajaan juga telah mengakui keperluan untuk membantu PKS menerusi pelbagai bantuan kewangan seperti pinjaman, penyusunan dan penjadualan semula pembayaran dan penangguhan bayaran selama enam bulan untuk perniagaan, PKS dan individu.
“Namun, kami percaya langkah tambahan perlu diwujudkan terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 selain memberi peruntukan tambahan dari segi perbelanjaan pembangunan,” katanya. – MalaysiaGazette