Home Dunia Covid-19: Letak kenderaan di landasan, halang pesawat ambil penumpang terkandas

Covid-19: Letak kenderaan di landasan, halang pesawat ambil penumpang terkandas

GUAYAQUIL, Ecuador – Datuk Bandar di Ecuador berkata pihak perbandaran bandar kedua terbesar di negara itu telah menghalang pendaratan sebuah pesawat dari Eropah untuk mengambil penumpang yang terkandas di negara Andeas tersebut berikutan larangan yang dilaksanakan bagiĀ  menghalang penularan koronavirus (Covid-19).

Pada Rabu lalu, bandar Guayaquil menempatkan beberapa buah kenderaan milik kerajaan di landasan lapangan terbang di bandar tersebut bagi menghalang pesawat syarikat penerbangan Sepanyol, Iberia mendarat untuk mengambil 190 penumpang.

Datuk Bandar, Cynthia Viteri berkata, tindakan tersebut diambil untuk ‘mempertahankan bandar Guayaquil’ yang merekodkan 111 kes daripada 199 kes koronavirus sehingga kini, menurut perangkaan rasmi. Tiga orang telah meninggal dunia kerana penyakit itu di negara berkenaan setakat ini.

Pesawat tersebut kemudiannya mendarat di ibu negara, Quito, lapor Reuters.

Semalam Viteri berkata, ujian terhadai virus yang dilakukan ke atasnya adalah positif.

Semalam, Kerajaan Ecuador berkata, ia mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bandar tersebut, kata pihak berkuasa.

Pengarah Perkhidmatan pengurusan Risiko Negara, Alexandra Ocles menyatakan tindakan Guayaquil menyalahi norma penerbangan awam.

“Adalah sesuatu yang mendukacitakan kerana ia meletakkan negara dalam keadaan yang sukar, khususnya dengan adanya hubungan baik Ecuador dengan negara-negara Eropah,” kata Ocles kepada pemberita sambil menyifatkan pesawat Iberia ituĀ  melakukan penerbangan ‘bantuan kemanusiaan’.

Pelancong asing terkandas di Ecuador sejak negara itu menggantung operasi penerbangan pada Ahad lalu untuk membendung penularan koronavirus.

Penerbangan Iberia dibenarkan beroperasi kerana ia tidak membawa penumpang dan hanya membawa krew, menurut Menteri Pengangkutan, Gabriel Martinez.

“Ini akan mempunyai akibat,” kata Martinez yang ditemubual di rangkaian televisyen sambil menambah wakil kerajaan negara tersebut telah bercakap dengan kedutaan negara terbabit yang mana warganya sedang bersedia untuk meninggalkan negara itu. – Agensi