Home Utama Kerajaan Selangor umum Pakej Rangsangan Ekonomi RM127.78 juta

Kerajaan Selangor umum Pakej Rangsangan Ekonomi RM127.78 juta

Datuk Seri Amirudin Shari
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Covid-19 dengan memperuntukkan RM127.78 juta kepada semua pihak terbabit sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk meluluskan pemberian satu insentif sebanyak RM200 secara one-off (sekali bayar) dan bantuan makanan semasa bertugas kepada 6,000 petugas di hospital seluruh Selangor.

“Ia bagi menghargai petugas barisan hadapan menangani wabak Covid-19 kerana petugas-petugas kesihatan bertungkus lumus berkhidmat dan ada di antara mereka terus bertugas tanpa cuti dihimpit kemelut wabak ini.

“Bantuan makanan ini akan berterusan sehingga 31 Mac 2020. Peruntukan ini berjumlah RM1.2 juta,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di Seksyen 6, di sini, hari ini.

Selain petugas hospital, Kerajaan Negeri Selangor juga bersetuju untuk memberi insentif sama iaitu RM200 secara ‘one-off’ kepada 2,500 mahasiswa di Selangor yang terpaksa kekal di institut pengajian tinggi masing-masing sepanjang 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Bagi memudahcara urus diri mahasiswa-mahasiswa Selangor yang terpaksa kekal di IPT masing-masing di Sabah dan Sarawak, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan bantuan sara diri ‘one-off’ sebanyak RM200 bagi 2,500 pelajar yang terkesan dengan larangan pulang tersebut,” katanya.

Manakala bagi mahasiswa-mahasiswa yang menuntut di IPT-IPT di bawah Selangor pula, mereka akan diberikan bantuan makanan secara percuma bermula 22 Mac hingga 31 Mac ini.

“Bagi pelajar-pelajar UNISEL, KUIS, dan Kolej INPENS, Program Makanan Percuma akan dilaksanakan bermula 22 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi mahasiswa dan mahasiswi yang terpaksa kekal di kampus masing-masing.

“Keseluruhan bantuan ini bernilai RM2.3 juta,” katanya. – MalaysiaGazette