KUALA LUMPUR – Majikan perlu menyediakan surat kebenaran kepada pekerja untuk memudahkan pergerakan mereka sekiranya ditahan pihak berkuasa yang membuat rondaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Langkah ini juga bagi memastikan adanya penguatkuasaan yang lebih ketat ke atas pekerja-pekerja industri yang diarahkan bertugas.
Sehubungan itu, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah memutuskan kebenaran untuk pergerakan pekerja bagi industri yang diluluskan dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI).
Menjurus kepada keputusan ini, MITI telah mengambil langkah proaktif pagi ini dengan menyatakan kebenaran untuk beroperasi dan bekerja tersebut di dalam surat kelulusan kepada syarikat-syarikat yang akan beroperasi sepanjang PKP.
Kelulusan ini juga terhad kepada syarikat-syarikat di dalam sektor pembuatan produk penting yang telah mendapat kelulusan untuk meneruskan operasi pada kadar minimum.
”Kebenaran bekerja ini juga terhad kepada jumlah pekerja-pekerja yang diluluskan kepada syarikat untuk beroperasi, dan kebenaran untuk meletakkan mesin kilang dalam keadaan siap-siaga.
”Syarikat-syarikat yang juga pemilik kilang ini wajib memberi surat kebenaran perjalanan kepada pekerja-pekerja yang bertugas, serta melampirkan bersama surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan MITI.
”Syarikat perlu juga menyenaraikan nama-nama pekerja yang dikenalpasti membawa surat kebenaran perjalanan
tersebut untuk pergerakkan mereka dari kediaman ke kilang/premis masing-masing,” kata MITI.
Menurutnya, jumlah surat kebenaran ini hanya boleh dikeluarkan oleh pihak syarikat kepada pekerja mereka sahaja mengikut bilangan pekerja yang telah diluluskan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
Walau bagaimanapun, kelulusan yang diberikan boleh dibatalkan dan ditarik balik sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi oleh syarikat. – MalaysiaGazette