Home Nasional Permohonan semakan Azilah kekal didengar 20 April

Permohonan semakan Azilah kekal didengar 20 April

PUTRAJAYA – Pendengaran permohonan semakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri terhadap sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Persekutuan kekal seperti yang dijadualkan pada 20 April ini.

Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencelah dalam permohonan semakan Azilah juga ditetapkan untuk pendengaran pada hari yang sama, menurut dokumen mahkamah berhubung kes itu, dipetik oleh Bernama.

Menurut dokumen itu, Jabatan Peguam Negara dikehendaki mengemukakan afidavit jawapan bagi permohonan semakan dan permohonan Najib untuk mencelah sebelum 26 Mac dan Azilah perlu mengemukakan afidavit balasan bagi kedua-dua permohonan itu sebelum 10 April.

Kedua-dua pihak dalam kes itu juga dikehendaki menyerahkan hujahan bertulis masing-masing sebelum 6 April.

Semasa pengurusan kes pada Selasa, peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah memberitahu media, anak guamnya membantah permohonan Najib untuk mencelah dalam permohonan semakannya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azmi Mashud yang mewakili pihak pendakwaan serta turut hadir pada pengurusan kes tersebut berkata arahan yang diterima beliau adalah untuk membantah permohonan Najib dan menentang permohonan semakan Azilah.

Azilah, 43, yang sedang menunggu hukuman mati di Penjara Kajang memfailkan permohonan semakan itu pada 5 Dis tahun lepas yang turut disertakan dengan afidavit yang mengandungi Akuan Berkanun (SD) setebal 32 muka surat untuk menyokong permohonannya. Dalam SD itu beliau mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya dikeluarkan bekas Perdana Menteri (Najib), yang ketika kejadian merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Azilah, memohon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 dan memohon perintah untuk perbicaraan semula.

Pada Disember tahun lepas, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu media, anak guamnya, Najib, menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan Azilah.

Azilah dan seorang lagi bekas anggota UTK, Sirul Azhar Umar , 47, disabitkan dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 kerana didapati bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt 2006.

Mereka bagaimanapun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati dibenarkan.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan pembebasan kedua-dua bekas anggota UTK itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

— BERNAMA