Home Nasional Satu perasaan yang janggal – Imam Masjid Negara

Satu perasaan yang janggal – Imam Masjid Negara

Bilal Masjid Negara, Mohd Fakhrurazi Mohd Yusof melaungkan azan bagi menandakan masuk solat fardu Zohor dalam suasana yang lengang berikutan segala aktiviti Solat Jumaat dihentikan sempena Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani Covid-19 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Ada getar dalam nada suara bilal Masjid Negara tatkala melaungkan azan. Tidak seperti hari-hari Jumaat yang lalu, azan berkumandang tanpa ada jemaah berpusu-pusu masuk ke rumah Allah itu untuk menunaikan solat Jumaat.

Tidak ada juga ratusan jemaah yang sedia menunggu di sejadah di segenap ruang masjid yang sememangnya menjadi tumpuan umat Islam pada setiap Jumaat.

Hari ini buat pertama kalinya, Jumaat menyaksikan Masjid Negara dan masjid-masjid lain di seluruh negara sepi. Hanya imam dan petugas masjid yang dibenarkan masuk, manakala ibadat solat Jumaat digantikan dengan solat Zohor.

Bukan untuk menidakkan tuntutan agama, namun virus Covid-19 yang kini telah mengorbankan dua nyawa di Malaysia menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagi Imam Masjid Negara, Mohd. Afif Jamal, sudah pasti perasaannya terobek apabila solat Jumaat tidak dapat dilangsungkan hari ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Secara jujur, beliau melahirkan perasaan yang dialaminya.

“Satu perasaan yang agak janggal apabila hari Jumaat tiada solat Jumaat,” katanya.

Bagaimana Mohd Afif berkata, arahan yang dikeluarkan kerajaan itu bertepatan dengan peristiwa yang terjadi pada zaman sebelum ini.

“Bukan satu yang pelik pada hakikatnya. Pernah terjadi para muslimin bersolat di rumah masing-masing dengan apa yang disaran ulama dan umat terdahulu,” katanya.

Suasana lengang berikutan solat Jumaat ditiadakan sempena Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani Covid-19 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2020.

Mohd. Afif mengakui masih terdapat jemaah yang datang ke Masjid Negara hari ini walaupun semua masjid di seluruh negara menghentikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus Covid-19.

“Para jemaah dibenarkan masuk tapi dewan solat utama ditutup. Jemaah boleh solat bersendirian dan bukan secara jemaah.

“Tiada yang pelik dan cuma kita masyarakat Malaysia apabila tiada solat Jumaat rasa agak janggal dan pelik.

“Marilah kita beriman dengan Rasul dan kita ikut perintah oleh pemimpin yang bertepatan ini.

“Di Malaysia, tidak pernah dan mungkin jarang berlaku tetapi hakikatnya bertepatan dengan syariat,” katanya sambil memberitahu Masjid Negara tidak ditutup secara keseluruhan kerana ada musafir yang masih datang singgah ke situ.

Sementara itu bagi Bilal Masjid Negara, Mohd Fakhrurazi Mohd Yusof, beliau berasa sayu ketika hendak melaungkan azan solat Jumaat.

“Sebelum ini kita tengok jemaah sudah ramai tunggu waktu solat tetapi seakan solat seorang diri.

“Jadi rasa sayu dengan perasan itu,” luahnya sedih. – MalaysiaGazette