Home Seni Hidup Tak sanggup lihat mama derita – Serina

Tak sanggup lihat mama derita – Serina

Foto Instagram Serina Redzuawan

KUALA LUMPUR – Pengacara dan pelakon, Serina Redzuawan menganggap kenangan menguruskan ibunya, Allahyarham Norhayate Ayub, 60, semasa hidup yang menderita penyakit buah pinggang, jantung dan diabetes menjadi ingatan seumur hidupnya.

Pelakon filem Hingga Hujung Nyawa dan Mr Cinderella yang redha dengan pemergian ibunya pada petang Rabu lalu bagaimanapun perit menerima hakikat kehilangan insan penting dalam hidupnya itu.

Jelas ibu tunggal berkenaan, dia tidak sanggup melihat arwah ibu menanggung derita sejak sekian lama.

“Saya redha pemergian Mama kerana sudah lama menderita. Saya tak sanggup melihatnya terus menanggung kesakitan. Kenangan menjaga dan menguruskan dialisis Mama menjadi kenangan indah. Teringat kenangan menyuap Mama makan dan mendukungnya masuk kereta.

“Mama manja dan suka perhatian. Dia juga suka makanan enak. Rindu yang tiada penghujung, moga Mama tenang di sana,” tulisnya menerusi entri yang dimuat naik dalam Instagram dan Facebook hari ini.

Bekas hos program Jalan Jalan Cari Makan mendedahkan sifat mulia dimiliki ibunya yang suka memberi makan kepada kucing.

“Mama sayang pada kucing dan selalu beri makan. Hinggakan penuh kucing menunggu dan menjaga jenazah Mama, sebelum dikebumikan ketika di masjid,” tulis Serina lagi.

Selain menyayangi binatang, Serina memberitahu, arwah ibunya juga suka bersedekah.

“Dalam keadaan tenat, Mama sempat minta penjaganya, Kak Natrah supaya menghantar sedekah kepada anak tahfiz. Allahuakbar! Rina bangga jadi anak Mama,” kata Serina.

Selain Serina, arwah Norhayate yang juga bekas isteri kepada Chef Selebriti, Datuk Chef Wan memiliki seorang lagi cahaya mata, Mohd Nadzri. Arwah dan Chef Wan adalah sepupu dan mendirikan rumah tangga pada tahun 1982.

Bagaimanapun, rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka berpisah selepas empat tahun melayari bahtera rumah tangga.

Jenazah arwah Norhayate selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana pagi semalam. – MalaysiaGazette