Home Politik Tun M bantah Muhyiddin pecat Marzuki

Tun M bantah Muhyiddin pecat Marzuki

Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. foto SYAFIQ AMBAK, 30 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad membantah pemecatan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya.

Datuk Marzuki Yahya

Pemecatan itu dilakukan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri dalam satu surat pada 18 Mac lalu.

Dalam satu surat kepada Muhyiddin seperti yang tular, Mahathir berkata, Muhyiddin mesti terlebih dahulu perlu melalui proses rundingan dengan pengerusi selaras dengan perlembagaan Bersatu.

Mahathir berkata, maksud berunding dalam konteks itu bukan setakat presiden memaklumkan kepada pengerusi tetapi ia mesti mencapai tahap perbincangan yang bersungguh-sungguh berkenaan hal ehwal melantik pegawai parti.

“Justeru, saya mengatakan pemberhentian Marzuki sebagai Setiausaha Agung Bersatu oleh Muhyiddin adalah tidak sah dan atau perlu diketepikan,” katanya dalam surat yang sama.

Difahamkan, Muhyiddin telah melantik Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baharu.

Hamzah Zainuddin

Bagaimanapun ia belum dapat disahkan.

Sebelum itu, tular surat Muhyiddin memecat Marzuki bertarikh 18 Mac lalu tanpa menyatakan sebab pemberhentian namun ia dibuat selaras dengan Fasal 13.9 perlembagaan Bersatu.- MalaysiaGazette