Home Ekonomi SC beri kelonggaran penuhi keperluan kawal selia

SC beri kelonggaran penuhi keperluan kawal selia

Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memberi kelonggaran kepada peserta pasaran modal dalam memenuhi keperluan kawal selia yang tertentu berikutan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) antara 18 hingga 31 Mac 2020.

Pasaran modal telah dikenal pasti sebagai fungsi kritikal dan akan terus beroperasi untuk menyokong ekonomi ketika tempoh pergerakan terhad di seluruh negara.

SC dalam kenyataan berkata, sebagai sebahagian daripada pelan kesinambungan perniagaan mereka, kebanyakan peserta pasaran mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengendalikan operasi pasukan pisah atau bekerja dari rumah dalam tempoh masa ini.

Di samping menyebabkan kebimbangan utama kepada perniagaan umumnya, Covid-19 telah menimbulkan beberapa isu kawal selia dan cabaran pentadbiran khusus bagi peserta pasaran untuk mematuhi keperluan pelaporan kawal selia SC.

Oleh yang demikian, pengawal selia tersebut menlanjutkan tarikh akhir bagi peserta pasaran mematuhi keperluan seperti pemfailan dan penyerahan kawal selia kepada SC dan memenuhi keperluan latihan.

SC berkata, penangguhan penyerahan kawal selia ini merupakan sebahagian daripada pakej kelonggaran SC yang lebih meluas kepada pasaran modal dalam menyokong langkah-langkah kerajaan untuk membendung penularan Covid-19.

Untuk maklumat lanjut, sila lawat laman sesawang SC di https://www.sc.com.my/regulation/technical-notes-and-practice-notes/circular-to-capital-markets-services-licence-holders atau emel [email protected] untuk sebarang penjelasan. – MalaysiaGazette