PUTRAJAYA – Sebanyak 123 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini, demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes.
“Berdasarkan siasatan awal, daripada 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.
“49 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KKM, hari ini.
Dalam pada itu, terdapat 25 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 139 kes.
“Sehingga kini, seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 22 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette