Home Utama Masih ada gelandangan berkeliaran, pekerja seks terus ‘berniaga’

Masih ada gelandangan berkeliaran, pekerja seks terus ‘berniaga’

Sebahagian gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal dilihat berada di belakang sebuah bangunan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Virus Covid-19 tidak mengenal siapa. Wabak yang telah menular di seluruh dunia ini mampu menjangkiti sesiapa – dari bayi hinggalah ke warga emas.

Sebab itu apabila langkah membendung penularan wabak tersebut dilaksanakan, semua golongan tidak terlepas daripada perhatian kerajaan.

Misalnya dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan Malaysia telah mengumumkan penutupan pejabat-pejabat kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah dan pelbagai premis lagi.

Langkah itu tidak lain tidak bukan untuk memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan apabila orang ramai diarahkan duduk di rumah dan melaksanakan social distancing.

Namun masih ada golongan yang agak terlepas pandang. Misalnya semalam MalaysiaGazette membuat tinjauan di kawasan sekitar Pasar Borong Selayang. Suasana di situ berlangsung seperti biasa seolah-olah tiada sebarang sekatan dijalabkan.

Warga asing di situ bebas bergerak, bersosial malah duduk makan serta minum tanpa ada rasa bimbang begitu juga kanak-kanak bebas berkeliaran dan bermain di sana sini.

Malam ini kami meninjau pula kehidupan gelandangan di sekitar Chow Kit, Jalan Pahang, Masjid Negara dan Lorong Haji Taib yang sememangnya tumpuan golongan ini.

Seperti dijangka golongan ini masih bergelandangan, tidur beralaskan suratkhabar dan masih ada yang berjalan ke sana sini meneruskan kelangsungan hidup.

Seorang gelandangan sedang menikmati makanan di kawasan terbuka biarpun Perintah Kawalan Pergerakan telah dilaksanakan berikuta penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2020.

Ada juga kalangan mereka yang menyertai kumpulan-kumpulan kecil melepak di kaki-kaki lima dan lorong-lorong tanpa memperdulikan apa yang berlaku.

Golongan ini juga seolah-olah tidak terkesan sama sekali dengan wabak Covid-19 yang semakin hari semakin membimbangkan malah bagi mereka cukuplah sekadar dapat sesuap nasi.

Apa yang lebih membimbangkan apabila melihat kumpulan ini berada dalam keadaan langsung tidak terurus dan kotor tanpa sebarang kit keselamatan, tidak pasti pula sekiranya sebarang maklumat berhubung penyakit ini sampai kepada mereka.

Juga tidak dapat dipastikan sejak Covid-19 melanda negara sejak tahun lalu, adakah sebarang bantuan perubatan telah diberikan kepada golongan ini.

Salah satu lorong yang menjadi tempat gelandangan berlindung ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2020.

Ada juga kalangan mereka yang cuba mendekati kenderaan kami mungkin dengan harapan akan ada rezeki untuk mereka malam ini.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan aktiviti memberi makan kepada gelandangan berkurangan dan mungkin tidak ada sama sekali, justeru kehadiran kami ke kawasan berkenaan adakalanya menarik perhatian mereka.

Seorang gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal duduk dilihat berada di kawasan sebuah bangunan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2020.

Perjalanan kami di lorong-lorong belakang ini tidak berakhir di situ.

Kami juga terserempak dengan ‘bapa ayam’ serta sarang dipercayai pelacuran di sekitar Chow Kit yang masih aktif menjalankan ‘perniagaan’ mereka.

Percaya atau tidak, di sebalik penularan wabak Covid-19, kami menyaksikan sendiri  ‘pelanggan’ yang turun naik deretan rumah-rumah kedai itu tanpa peduli langsung Perintah Kawalan Pergerakan mahupun apa yang sedang melanda negara ketika ini.

Ada juga yang seperti teruja melihat kereta kami menghampiri kawasan kedai-kedai berlampu merah itu kononnya kami adalah pelanggan mahu melanggan.

Golongan Mak Nyah dilihat bersahaja menunggu pelanggan di kawasan terbuka tanpa peduli Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 21 MAC 2020.

Kami juga sempat meninjau Rumah Gelandangan Transit Kuala Lumpur di Jalan Pahang, salah seorang daripada pengawal keselamatan tidak membenarkan kami masuk dan memaklumkan ketika ini pusat transit itu sudah ‘full house’.

Sebarang permohonan hanya boleh dilakukan selepas 1 April ini, penghuni-penghuni yang sedia ada di dalamnya juga tidak boleh keluar sehingga 31 Mac ini.

Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2020.

Jadi apa pula nasib baki gelandangan-gelandangan ini?

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini memberitahu mendedahkan pihaknya dan MKN sudah mengenalpasti sekurang-kurangnya 500 gelandangan sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, kerajaan sudah mengenalpasti tempat sementara untuk golongan ini tinggal malah Kementerian Kesihatan juga akan melakukan saringan bagi memastikan kesemua mereka ini bebas Covid-19.

Namun bilakah agaknya mereka-mereka akan ditempatkan kan dan diletakkan di satu tempat yang benar-benar selamat kerana hakikatnya kumpulan ini sangat tinggi risikonya dalam terkena jangkitan Covid-19.

Semakin lama dibiarkan semakin tinggilah risikonya kelak.

Sememanya golongan ini bukan sahaja perlukan perhatian khusus sebaliknya juga bantuan lebih pro-aktif supaya rakyat yang duduk dalam rumah tidak perlu lagi bimbang. –MalaysiaGazette

Kumpul gelandangan satu tempat, beri saringan Covid-19

3 Komen

  1. Rumah2 pelacuran yang memperdagangkan manusia dilorong2 Chow Kit sudah lagi tidak relevan dizaman ini.

    Sudah sampai masanya kerajaan menutup kesemua rumah2 pelacuran tersebut!!!

  2. Jadikan 2030 tahun bebas PELACURAN!

    Bermula dari saat ini semua kementerian yang terbabit dan berkaitan bolehlah bersama2 pihak polis membuat MASTER PLAN untuk negara bebas PELACUR tahun 2030!

  3. Tunggu menteri wilayah persekutuan buat statment apa plan jangka panjang untuk pusat pelacuran dan menangani golongan gelandangan.
    Untuk menutup pusat pelacuran kerajaan hendaklah bekerjasama dengan pembekal perkhidmatan utiliti spt tenaga letrik dan air hendak disekat salur sama sekali.
    Maka ‘bapa ayam’ dan pusat berkenaan akan lumpuh terus.

Comments are closed.