Home Nasional Bukan kerajaan China derma, Malaysia yang beli

Bukan kerajaan China derma, Malaysia yang beli

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan China tidak mendermakan 10 juta penutup mulut dan hidung kepada Malaysia sebaliknya alat perlindungan itu dibeli oleh kerajaan dari kilang di negara tersebut.

Lantaran itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sedih dengan segelintir pemimpin politik yang tidak tidak bertanggungjawab memutarbelitkan fakta kononnya penutup mulut dan hidung itu diderma dan kemudian kerajaan akan mengambil kesempatan menjualnya pada harga siling melalui Pharmaniaga.

Untuk rekod, katanya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melarang pengeksportan penutup mulut dan hidung beberapa hari selepas menyandang jawatan Menteri dan diwartakan keputusan tersebut.

Katanya, kilang tempatan tidak mempunyai kapasiti untuk menghasilkannya, inilah sebab Malaysia perlu mengimport dan negara yang mempunyai bekalan ialah China.

”Semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama para Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 20 Mac 2020 lalu, saya telah mengesyorkan supaya duti import sebanyak 20% dan cukai jualan sebanyak 10% untuk topeng muka dimansuhkan.

”Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya terus bersetuju dan meminta Kementerian Pengangkutan untuk mengendalikan pengimportan topeng muka dari negara China melalui penerbangan kargo.

”Semalam 21 Mac 2020, Menteri Kewangan telah membuat keputusan pantas dengan mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membuat pengumuman mengenai pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas topeng muka berkuatkuasa mulai esok, 23 Mac 2020.

”Ini adalah keputusan yang amat dinanti-nantikan oleh semua pihak bagi meredakan keadaan dan menjamin pembekalan topeng muka pada harga yang berpatutan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jadi, mulai hari ini, sesiapa sahaja yang mengimport penutup muka dan mulut Malaysia tidak lagi tertakluk kepada duti import dan cukai jualan, bermakna komponen cukai tidak lagi wujud bagi penjualan alat perlindungan itu di seluruh negara.

Jelas Ka Siong, realiti yang dihadapi ketika ini ialah permintaan global untuk penutup hidung dan mulut  meningkat secara mendadak khususnya dari negara Eropah dan Amerika Syarikat yang sedia membeli dengan harga premium.

Ini menyebabkan negara pengeluar topeng muka terbesar dunia, China menerima tempahan luar biasa dari seluruh dunia.

Dengan penghapusan duti import dan cukai jualan ini,  beliau berharap dapat mengurangkan bebanan kewangan semua pihak terutamanya rakyat jelata.

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan akan mencuba sedaya upaya menggunakan khidmat penerbangan kargo untuk mempercepatkan perolehan penutup hidung dan mulut ke Malaysia dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

“Beberapa orang dermawan dan badan kebajikan ada menghubungi saya dan menzahirkan perasaan lega mereka terhadap keputusan memansuhkan duti import dan cukai jualan.

“Malah, mereka telah menempah penutup mulut dan hidung dari China untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan. Inilah semangat dan sifat penyayang rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Menteri Melayu punya nak ampu China komunis tapi Menteri bangsa China sendiri yang pecah tembelang mereka. Menteri mana dulu yang buat pengumuman nak jual face mask pada harga RM2.00 walhal sebelum ini harga cuma kurang dari RM1.00? Tanya dia pasal apa? Dulu RM1.00 dah di kira masuk Duti impot/ Cukai Jualan. Nampak sangat ada orang nak buat untung ni, mungkin Menteri tu sendiri. Lepas tu pasal apa sedikit sangat tangkapan oleh KDNHEP walhal jika sekali tengok kat dalam online store harga face mask dijual pada harga cekik darah dan kat farmasi2 kebanyakkan “out of stock”. Tak perlu James Bond intip. Farmasi “hoarding” dan online seller jual harga cekik darah.

Comments are closed.