Home Sukan Dybala, Maldini disahkan positif Covid-19

Dybala, Maldini disahkan positif Covid-19

Liverpool intai Dybala
Paulo Dybala.

TURIN – Sukan bola sepak Itali terus menerima tamparan apabila penyerang Juventus, Paulo Dybala dan bekas pemain AC Milan, Paolo Maldini disahkan positif pandemik Covid-19.

Menerusi Instagram miliknya, Dybala berkata, dia dan teman wanitanya diuji positif dan kedua-duanya berada dalam kesihatan yang baik.

“Oriana dan saya kedua-duanya telah diuji positif,” tulis pemain Argentina berusia 26 tahun itu. Mujur kami sihat,” tulisnya.

Teman wanita Dybala, Oriana Sabatini merupakan seorang penyanyi, pelakon dan model di Argentina dan anak saudara kepada  bekas pemain tenis Gabriela Sabatini yang pernah menjuarai Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat pada tahun 1990.

Dybala merupakan pemain Juventus ketiga yang telah disahkan positif selepas Daniele Rugani dan Blaise Matuidi.

Sementara itu pengarah teknikal AC Milan, Paolo Maldini dan anaknya Daniel juga telah disahkan positif menurut kenyataan rasmi kelab itu.

Bagaimanapun seperti Dybala, kedua-dua mereka masih sihat.

AC Milan turut memaklumkan Daniel telah berlatih dengan skuad senior AC Milan dan telah menjalani proses kuarantin sendiri selama dua minggu di rumah bersama bapanya.

Kedua-dua anak beranak ini akan terus berada dalam kuarantin sehingga pulih.

Pakar kesihatan menganggarkan hampir 18 peratus pesakit yang positif Covid-19 tidak menunjukkan sebarang simptom.

Di Itali, punca wabak itu meningkat berkali-kali ganda adalah kerana pesakit asymptomatic tidak mengendahkan arahan untuk membuat kuarantin sendiri di rumah.

Ketika ini Itali mempunyai jumlah kes kematian paling tinggi di dunia daripada wabak yang sama. – MalaysiaGazette