CHINA – Pemain bola sepak, Marouane Fellaini disahkan positif wabak Covid-19 ketika berada di Wilayah Jinan, China.
Perkara itu disahkan oleh Jabatan Kesihatan Tempatan wilayah itu dan pemain antarabangsa Belgium itu kini dirawat di Hospital Jinan, China.
Bekas pemain Everton dan Manchester United itu kembali untuk menyertai Shandong Luneng untuk persiapan Liga Super China (CSL) dan tiba menggunakan kereta api sebelum menjalani saringan.
Keputusan positif tersebut menjadikan Fellaini sebagai pemain bola sepak pertama di CSL yang sah dijangkiti Covid-19 setakat ini.
Seperti kejohanan liga bola sepak di seluruh dunia yang digantung akibat penularan wabak itu, CSL turut mengalami nasib sama walaupun China kini merekodkan penurunan kes yang ketara.
Fellaini berhijrah ke Shandong pada 2019 dan melalui musim pertama menakjubkan di China apabila menjaringkan 13 gol dalam semua kejohanan.
Dia turut membantu pasukannya mengakhiri saingan di kedudukan kelima liga pada musim lalu.
Walaupun jumlah kes di China kini menunjukkan penurunan, penularan wabak ini di seluruh dunia semakin meningkat dengan Itali paling terkesan.
Beberapa pemain bola sepak tekemuka dunia dan jurulatih turut dijangkiti virus yang sama – MalaysiaGazette